Friday, January 10, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus berbakti demi negara

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Penganugerahan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam merupakan pencetus semangat kepada para penerima untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menyumbang tenaga demi kemajuan dan pembangunan Negara Brunei Darussalam.

    Beberapa penerima telah berkesudian mengongsikan junjung kasih dan ucapan mereka sejurus selepas selesainya Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 tahun di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, hari ini.

    Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon, yang merupakan penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B.), semasa ditemui Media Permata, menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas penghormatan yang dianugerahkan hari ini, yang menurutnya bukan hanya untuk dirinya sahaja tetapi juga kepada kehakiman.

    “Kehakiman komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan juga untuk memperbaiki sistem penyampaian keadilan (justice delivery system). Menjunjung kasih berbanyak-banyak kehadapan majlis Baginda Sultan,” kongsi Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong.

    Sementara Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Marzuke bin Haji Mohsin yang juga menerima bintang kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B.) semasa ditemui mengungkapkan junjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan dan berazam untuk terus meningkatkan lagi usaha dalam menjalankan tugasan di bawah Kementerian Pembangunan.

    Manakala Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Dato Paduka Razali bin Haji Badar yang telah menerima bintang kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (D.P.M.B.) mengongsikan, “Pertama-tama, bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmatNya jua dapat menerima bintang kebesaran yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.”

    Beliau turut menyembahkan setinggi-tinggi junjung kasih dan berdoa mudah-mudahan Baginda Sultan sentiasa mendapat rahmat dan hidayat daripada Allah SWT dan kekal karar memimpin Negara Brunei Darussalam.

    Seorang lagi penerima bintang kebesaran iaitu Penguasa Pelajaran Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Hamdiah binti Haji Salleh yang menerima bintang kebesaran Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Ketiga (S.S.U.B.) semasa ditemui mengongsikan rasa bersyukur atas penganugerahan yang diterima hari ini.

    Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon ketika ditemu bual oleh media.
    Hajah Hamdiah ketika ditemu bual oleh media.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda