Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus beri tumpuan kepada penggunaan tenaga suria

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Dalam memastikan sektor tenaga secara keseluruhannya adalah lestari dan rendah karbon, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Jabatan Tenaga terus memberi tumpuan kepada inisiatif seperti pengoptimuman operasi, kecekapan dan penjimatan tenaga serta penggunaan teknologi dan tenaga alternatif yang boleh diperbaharui khususnya tenaga suria.

    “Projek tenaga suria 30 Megawatt (Mw) di Kampung Belimbing Subok pada masa ini sedang dimajukan dan akan mula operasi pada 2025 manakala projek-projek yang selainnya termasuk projek-projek tenaga suria yang dimajukan oleh pelbagai agensi, termasuk syarikat-syarikat pengendali seperti sistem solar berskala besar anjuran TotalEnergies dengan kapasiti 12Mw yang dijangka akan menghasilkan tenaga pada awal 2025.”

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam pembentangan peruntukan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya pada hari ke-12 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Ke arah itu, beliau menjelaskan beberapa tapak perairan telah dikenal pasti sebagai tapak-tapak sistem loji tenaga suria.

    Pembangunan tenaga suria yang berskala kecil dan sederhana juga akan diusahakan untuk menggalakkan orang ramai memasang sistem tenaga solar secara sukarela.

    Gambar Freepik

    “Dalam memastikan teknologi alternatif ini adalah mampu milik bagi menggalakkan penggunaan tenaga suria yang lebih berleluasa, Jabatan Tenaga telah dan akan terus meneliti mekanisme kos yang paling berkesan.

    “Walau bagaimana pun, harga keseluruhan pembekalan dan pemasangan sistem solar juga dipengaruhi oleh faktor-faktor pasaran,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Dalam memajukan dan mempercepatkan projek-projek tenaga yang boleh diperbaharui dengan lebih berintegrasi, sebuah Jawatankuasa Pandu Keselamatan dan Kecekapan Tenaga telah ditubuhkan dengan melibatkan pihak-pihak yang berkepentingan.

    Manakala itu, bagi mencerminkan komitmen kerajaan dalam menerajui usaha-usaha penjimatan tenaga pula, Jabatan Tenaga giat bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain menerusi pengurus tenaga yang dilantik masing-masing bagi mengamalkan penjimatan dan kecekapan tenaga di bangunan-bangunan kerajaan termasuk mengadakan pengauditan tenaga.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menerangkan bahawa penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) di Negara Brunei Darussalam juga menekankan komitmen negara terhadap usaha-usaha berkaitan perubahan iklim, selaras dengan hasrat ke arah menjana pembangunan negara dan ekonomi yang berdaya tahan.

    Pusat itu yang dijangka akan beroperasi pada 2024, merupakan sebuah hab ilmu serantau dan penyelidikan perubahan iklim yang menggalakkan tindakan iklim kolektif serantau di kalangan negara-negara anggota ASEAN.

    “Ini dapat direalisasikan menerusi pembangunan dasar dan mengenal pasti bidang-bidang kerjasama perubahan iklim, terutamanya berkaitan mitigasi, adaptasi dan kewangan,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda