Terus berjuang meski tewas

Oleh Fadhil Yunus

MANILA, 28 NOV – Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam tewas 69-23 menentang Malaysia dalam perlawanan pusingan ketiga di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Kompleks Sukan Santa Rosa, kelmarin.

Berkenan mengetuai The Royal Bees ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

Malaysia menguasai perlawanan, memimpin dengan jaringan 17-5 separuh masa pertama sebelum mengakhiri separuh masa kedua dengan jaringan selesa 36-15.

Juara bertahan itu beraksi cukup cemerlang pada dua suku terakhir dengan hanya membenarkan pasukan Brunei memungut lapan mata.

The Royal Bees akan menamatkan pusingan awal dengan pertemuan mesti menang menentang Filipina.

Kedua-dua pasukan tidak beroleh kemenangan sepanjang perlawanan tetapi kejayaan pertama untuk kedua-dua pasukan akan memberikan nafas kepada mereka untuk melangkah ke peringkat kalah mati dan yang lebih penting menjanjikan pingat gangsa.

Empat pasukan teratas akan layak ke peringkat kalah mati dan mengikuti jejak Singapura, Malaysia dan Thailand.

Pasukan Brunei memenangi pingat gangsa dalam dua edisi terakhir kejohanan itu.

Aksi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah semasa perlawanan tersebut. – Gambar oleh Infofoto