Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus cekal hadapi kehidupan

    ALEPPO, Syria – Di bahagian kota lama Aleppo, bekas-bekas runtuhan di sekeliling kawasan tersebut jelas kelihatan.

    Runtuhan bangunan yang sudah musnah itu menyaksikan sebuah peperangan yang telah melanda bandar lama itu sebelum ianya berakhir pada Disember 2016 di mana para tentera berjaya mengalahkan kumpulan pemberontak di bahagian timur Aleppo.

    Tetapi penduduk setempat sering berkata, “hidup mesti diteruskan” dan “mungkin ada harapan pada esok hari.”

    Sekurang-kurangnya beberapa penduduk masih tinggal di sana demi mempertahankan rumah, tempat asal mereka. Maher Khayata, seorang lelaki berusia 60 tahun, adalah salah seorang daripadanya. Dia adalah seorang penjaga di sebuah kompleks membeli-belah, di mana terdapatnya sebuah pintu pagar logam gergasi, yang ditutup dan dikunci dengan selendang lama, masih berfungsi sebagai pintu masuk, seolah-olah tidak ada yang berubah.

    Di sebalik pintu pagar tersebut, laman runtuhan telah memisahkan kedai-kedai di sana, yang mana sebahagian besarnya telah musnah. Dia telah menghabiskan hidupnya untuk melindunginya dan memastikan ianya kekal utuh dan selamat. Apabila peperangan tercetus yang telah menghancurkan kehidupannya dan kini berkecai seperti abu, dia masih tetap berada di sana, menjaga setiap dari kenangan kota lama itu.

    Khayata tinggal bersama isterinya yang sedang sakit dan anak lelakinya berusia 15 tahun di salah sebuah rumah sementara yang berada di atas bumbung. Dia terpaksa memanjat tangga rumahnya yang kini sudah tidak kukuh dan merbahaya. Jika salah langkah, ia boleh meragut nyawanya.

    “Saya berada di sini untuk menjaga runtuhan ini, menjaganya walau hanya pintu. Saya adalah penjaga kepada runtuhan ini,” kata Khayata, yang berpakaian agak lusuh.

    Dia memberitahu Xinhua bahawa dia telah menghabiskan seluruh hidupnya sebagai seorang penjaga kedai-kedai ini, yang mana bukan miliknya, di jalan Khan al-Harir, bandar lama Aleppo.

    “Kami telah berada di sini selama 70 tahun sejak ayah saya meninggal dunia. Saya dilahirkan di sini dan saya sudah berusia 60 tahun, dan mahu kekal tinggal di sini,” katanya. Dia berkata peniaga-peniaga yang memiliki tempat ini sering memberinya wang kepadanya secara mingguan atau bulanan untuk menjaga harta benda mereka itu.

    Semasa peperangan, dia telah berpindah ke rumah saudara terdekatnya, namun harus kembali semula untuk menjaga tempat itu setiap hari.

    Maher Khayata duduk di atas bumbung bangunan membeli-belah yang telah runtuh di Bandar Lama Aleppo, Utara Syria.
    – Xinhua
    Maher Khayata menaiki tangga yang sudah tidak kukuh lagi, menuju ke rumahnya yang berada di bahagian atas bumbung bangunan membeli-belah di Bandar Lama Aleppo, Utara Syria. – Xinhua
    Maher Khayata mengisi air ke dalam baldi di rumahnya. – Xinhua

    Maher Khayata mengalihkan runtuhan yang berada di kawasan bangunan membeli-belah di Bandar Lama Aleppo, Utara Syria. – Xinhua

    “Saya tidak pernah meninggalkan kawasan ini,” kata Khayata.

    “Apabila perselisihan atau perbalahan berlaku di luar pintu pagar ini, saya akan berada di dalam bangunan membuat teh dan kopi,” katanya.

    Menurut Khayata, tugasnya sekarang ialah mengalihkan runtuhan dan membersih kedai-kedai tersebut. Jadi, apabila para pedagang kembali semula ke kedai mereka ini, mereka akan mendapati bahawa ianya dalam keadaan yang bersih.

    “Jika kapal tenggelam, kami tidak menolaknya terus ke dalam laut, tetapi cuba menyelamatkan apa yang boleh diselamatkan, dan ini yang cuba saya lakukan di sini,” jelasnya.

    Dia berkata, isterinya menderita sakit belakang dan salah seorang daripada anak lelakinya sedang tinggal bersama mereka berdua, sementara dua yang lainnya masih hilang semasa peperangan. Walau bagaimanapun, Khayata masih kuat dan cekal di mana semuanya boleh diperbaiki.

    “Semuanya boleh kembali semula dalam keadaan asalnya. Inilah sebabnya saya percaya bahawa kawasan di bandar lama Aleppo ini akan dapat kembali semula seperti asalnya, malah boleh menjadi lebih baik lagi,” kata Khayata.

    Dia berkata beberapa pemilik kedai telah mula kembali semula ke sini untuk memperbaiki dan membuka semula perniagaan mereka.

    “Pemilik-pemilik itu memberitahu saya untuk membersihkan segala runtuhan ini dan menjaga barang-barang yang boleh digunakan lagi,

    “Saya tidak boleh berputus asa di kawasan ini. Saya akan terus tetap tinggal di sini untuk menjaga tempat ini seperti dahulu,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda