Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus dukung sektor pertanian

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Peserta Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam kedua 2018, seramai 50 orang telah meneruskan lagi lawatan mereka hari ini ke kawasan penanaman padi Kampung Wasan.

    Sebelum memulakan lawatan, para peserta mendengarkan taklimat bertajuk ‘Industri Padi Negara Brunei Darussalam’ yang disampaikan oleh Juru Ekopertanian, Dayang Bibi Khadizah binti Haji Rusli di IBTE Kampus Agro-Teknologi, Wasan.

    Semasa sesi lawatan tersebut, para peserta mendengarkan taklimat ringkas mengenai penanaman padi di kawasan berkenaan iaitu mengenai keadaan geografi dan struktur tanah yang sesuai.

    Dayang Bibi Khadizah turut mengongsikan mengenai pelbagai jenis padi yang ditanam seperti Padi Laila, Pusu, Bario dan Adan serta strategi Jabatan Pertanian untuk meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan teknik moden dalam sektor pertanian demi memastikan sektor pertanian menjadi salah satu penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    Antara objektif lawatan itu ialah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-72 tahun bertitah mengajak semua pihak, terutama agensi kerajaan yang berkenaan untuk tidak berlengah-lengah lagi meneroka sektor pertanian.

    Taklimat mengenai penanaman padi yang disampaikan oleh Dayang Bibi Khadizah.

    Ini kerana titah Baginda sektor pertanian adalah sangat penting untuk kehidupan dan memainkan peranan utama dalam pembinaan tamadun. Apabila pertanian meningkat hasil daripada teknologi baru, maka ia dianggap sebagai revolusi pertanian sudah berlaku dan telah membawa hasil pertanian itu bertambah pada awal abad ke-20.

    Taklimat dan lawatan tersebut adalah salah satu platform mempersiapkan para peserta mengharungi pelbagai cabaran masa depan dan mempersiapkan diri mereka sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran yang tinggi serta mampu berdikari tanpa mengharap bantuan orang lain untuk mencapai wawasan 2035.

    Para peserta program berkenaan terdiri daripada lepasan ijazah institusi-institusi tertinggi dalam dan luar negara. Para peserta berkampung selama enam hari lima malam di Dewan Kompleks Sukan Sungai Kebun dan berpeluang mengikuti pelbagai bentuk sesi perkampungan termasuk taklimat dan sesi dialog, sesi percambahan fikiran secara berkumpulan, aktiviti kerja berpasukan, sukan dan riadah, aktiviti keagamaan, amal dan lawatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda