Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Ahli pengawasan kejiranan (PK) dan pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bukan sahaja bekerjasama menjaga keamanan dan keselamatan setempat, malah turut menjalankan aktiviti kebajikan.
Sempena sambutan majlis ibadah korban anjuran PPDB baru-baru ini, ahli PK dan Anggota Balai Polis Berakas dan Balai Polis Kampong Ayer yang diketuai oleh Inspektor Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Rahman selaku penolong pegawai menguasa Balai Polis Berakas telah mengagihkan daging-daging korban kepada penerima yang berhak menerima di Kawasan 1 dan
Kawasan 3 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, Mukim Gadong A.
Turut hadir ialah Inspektor Mohd Salman bin Abdullah Sima Al-Islam selaku penolong pegawai menguasa Balai Polis Kampong Ayer disertai oleh Pemangku Ketua Kampung RPN Rimba Kawasan 3, Pengiran Haji Hashim bin Pengiran Ismail dan Pemangku Ketua Kampung RPN Rimba Kawasan 1, Haji Adanan bin Taha @ Awang Mohamad.
Selain usaha kebajikan, ahli PK dan PPDB juga melakukan pendekatan ke rumah-rumah ketua kampung.
Mengetuai rombongan bagi pendekatan ke kediaman Pemangku Ketua Kampung Lepong Baru, Ambol Anak Bakit dan Haji Moslim bin Haji Salleh selaku pemangku ketua Kampung Perpindahan Rataie dan STKRJ di bawah tadahan Mukim Bokok ialah Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj bersama pegawai-pegawai Daerah Polis Temburong dan anggota balai.
Pada kunjungan itu, mereka membincangkan statistik jenayah dan lalu lintas dan permasalahan di kawasan sempadan serta sungai yang dipercayai menjadi tempat penyeludupan barang tegahan.
Manakala itu, Balai Polis Muara yang diwakili oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Hajah Nur Azhani binti Haji Johaiani telah membuat lawatan ke rumah Pemangku Ketua Kampung RPN Mentiri Kawasan 1, Haji Abu Bakar bin Punggut dan Awang Mohd Hilmy bin Haji Ahmad selaku pemangku ketua Kampung RPN Panchor Mengkubau.
Dengan adanya aktiviti sedemikian, ahli PK berkesempatan untuk berkumpul dan bekerjasama dalam mewujudkan suatu suasana masyarakat yang bermaklumat mengenai kedudukan jenayah setempat dan kaedah pencegahannya.
