Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus fokus tingkatkan standard keselamatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Semua pihak berkepentingan digesa untuk terus fokus dalam meningkatkan standard keselamatan, menambah baik kebolehpercayaan operasi dan integriti aset, meningkatkan kecemerlangan pelaksanaan, dan membina prestasi kepimpinan yang kukuh sebagai langkah ke hadapan tahun 2025.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) ke-414 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) ke-192 bagi Suku Pertama tahun 2025, yang berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), pagi tadi.

    Dalam titah, Baginda turut menyeru agar komitmen yang teguh dalam tadbir urus yang berkesan, etika dan pematuhan sentiasa diterapkan dalam operasi bagi memastikan kemampanan, kredibiliti dan kejayaan jangka panjang, yang mana akan menjadi kunci untuk menjamin pertumbuhan yang berterusan dan berkekalan.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.

    Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk shareholder directors yang mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Shell plc serta ahli-ahli kepimpinan dari BSP dan BSM.

    Mesyuarat juga turut membincangkan bidang-bidang penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia.

    Mesyuarat tersebut menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) bagi Suku Pertama 2025.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah kelmarin berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) ke-414 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) ke-192 bagi Suku Pertama tahun 2025, yang berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM). – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah BSP ke-414 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah BSM ke-192 bagi Suku Pertama tahun 2025, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah semasa mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Antara yang menghadiri mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda