Friday, July 18, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus komited jalin kerjasama keselamatan bersama Rusia

    Oleh Nurdiyanah R. –

    MOSCOW, PERSEKUTUAN RUSIA, 9 JUN – Perwakilan dari Jawatankuasa Keselamatan Negara, Negara Brunei Darussaam telah menyertai delegasi-delegasi dari 100 buah negara di Mesyuarat Antarabangsa Pegawai Peringkat Tinggi yang Bertanggungjawab Dalam Hal-hal Keselamatan yang berlangsung pada 27 hingga 29 Mei di Pusat Kebangsaan Rusia, Moscow, Persekutuan Rusia.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat tahunan tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu yang juga selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara.

    Mesyuarat dimulakan dengan acara perasmian pada 27 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, Sergei Shoigu, diikuti dengan ucapan perasmian oleh Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam juga telah menyertai sidang plenari dan pada hari yang sama, Timbalan Menteri di JPM turut berpeluang untuk menyampaikan kenyataan pada Mesyuarat Perundingan Wakil Peringkat Tinggi bagi Isu Keselamatan ASEAN-Rusia yang dipengerusikan bersama oleh Sergei Shoigu bagi mewakili Persekutuan Rusia dan Laksamana Moe Aung bagi mewakili Republik Kesatuan Myanmar.

    Pada mesyuarat tersebut, Dato Seri Paduka Haji Sufian telah menyentuh mengenai kepentingan hubungan ASEAN-Rusia dalam mana Negara Brunei Darussalam akan terus mengukuhkan jalinan kerjasama dengan negara-negara rakan dialog ASEAN termasuk Persekutuan Rusia khususnya dalam bidang sekuriti.

    Pada hari berikutnya, Timbalan Menteri di JPM telah menyertai sesi perbincangan meja bulat mengenai isu keselamatan maklumat yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Persekutuan Rusia, S.V.Verishnin dan Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, D.G. Gribkov.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam turut berpeluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Menteri, Kementerian Hal Ehwal Dalaman, Persekutuan Rusia, Igor Zubov.

    Semasa mesyuarat dua hala tersebut, kedua dua buah negara telah membincangkan peluang-peluang untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dalam membasmi gejala dadah haram yang merupakan salah satu bidang keutamaan yang termaktub dalam memorandum persefahaman di antara Jawatankuasa Keselamatan Negara, Negara Brunei Darussalam dan Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia yang telah diperbaharui pada bulan April 2024.

    Turut hadir di mesyuarat-mesyuarat tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Rusia, Pengiran Muhammad Husaini bin PPLBI Pengiran Haji Alauddin; Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad dan Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Dato Paduka Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail.

    Perwakilan dari Jawatankuasa Keselamatan Negara telah menyertai Mesyuarat Antarabangsa Pegawai Peringkat Tinggi yang Bertanggungjawab Dalam Hal-hal Keselamatan yang berlangsung pada 27 hingga 29 Mei di Pusat Kebangsaan Russia, Moscow, Persekutuan Rusia. – GAMBAR SERAHAN JPM
    GAMBAR SERAHAN JPM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda