Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus maju bertunjangkan MIB

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Genap mencapai usia 40 tahun menikmati kemerdekaan, Negara Brunei Darussalam terus melangkah dan berkembang jauh dalam pelbagai bidang dengan bertunjangkan falsafah Melayu Islam Beraja.

    Jika diimbas kembali malam bersejarah tanggal 1 Januari 1984, laungan ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar’ yang dilafazkan oleh Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien telah bergema di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi menandakan Negara Brunei Darussalam sudah sepenuhnya mencapai kemerdekaan.

    Dalam tempoh kemerdekaan ini, pelbagai aspek telah berjaya diraih dari segi pembangunan, ekonomi, teknologi, kesihatan, pendidikan dan lainnya.

    PERUMAHAN UNTUK RAKYAT

    Dalam merealisasikan hasrat Wawasan Brunei 2035 terutama ke arah memastikan kehidupan rakyat berkualiti dan tempat kediaman yang kondusif, pihak kerajaan terus berusaha menyediakan tempat tinggal yang selesa dengan harga mampu milik.

    Pembinaan perumahan antara salah satu lagi kemajuan yang telah dicapai dan dilaksanakan pembinaannya di keempat-empat daerah di negara ini.

    Keprihatinan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia membina Jambatan SHOAS demi kemudahan dan kesenangan penduduk dan rakyat negara ini. – GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI
    Pembinaan masjid terus giat dilaksanakan di beberapa buah daerah, semuanya untuk kemudahan rakyat dalam mencapai Wawasan Brunei 2035. – GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

    Dalam catatan yang terkini, pembinaan rumah di Kampung Tanah Jambu sedang dalam pelaksanaan kerja pembinaan sebanyak 950 unit rumah jenis teres di atas tapak seluas 80 hektar, berserta dengan prasarana asas seperti bekalan elektrik, bekalan air, sistem pembetungan dan sebagainya.

    Ini merupakan projek Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Tanah Jambu Fasa 7 di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 yang bernilai lebih $96 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan.

    Dengan bertambahnya lagi projek perumahan untuk rakyat ini akan terus memberi sinar baharu kepada rakyat bagi memiliki rumah sendiri yang lebih selesa bersama keluarga.

    KEMAJUAN DALAM PEMBANGUNAN

    Manakala menyentuh mengenai kemajuan dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan, beberapa kemajuan telah dapat dilihat dan telah dinikmati oleh seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.

    Dalam usianya empat dekad ini dan untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara Islam yang unggul di mata dunia, pembinaan masjid terus giat dilaksanakan di beberapa buah kawasan di negara ini.

    Dalam mendukung hasrat negara dikenali sebagai sebuah Negara Zikir dan Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur, pembinaan masjid-masjid direka bentuk berunsurkan keislaman dan keBruneian dan pembinaannya bukan saja tertumpu di kawasan bandar malah pembinaannya turut dibuat di kawasan kampung dan kawasan perumahan.

    Dalam catatan terkini, masjid baharu RPN Meragang telah siap pada Januari 2024 itu dibina di atas tanah seluas 8.159 ekar dan menggunakan peruntukan di bawah RKN yang berjumlah $4.3 juta.

    Ke arah memberi keselesaan kepada umat Islam di negara ini menjalankan ibadah, beberapa buah masjid akan terus dibina dan sebahagian proses kesiapan.

    Di samping itu, pembinaan dua jambatan penghubung yang megah berdiri menjadi mercu tanda pemodenan negara dalam kemajuan infrastruktur jalan raya di negara ini.

    Ini dapat disaksikan dengan terbinanya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) yang menjadi penghubung antara Daerah Brunei Muara dan Temburong.

    Jambatan itu antara salah satu projek mega negara telah direka bentuk dengan ciri-ciri keIslaman dan keBruneian dengan panjang keseluruhan jalan dan jejambat sekitar 30 kilometer.

    Perlaksanaan projek ini menunjukkan keprihatinan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sentiasa mengambil berat akan keperluan rakyat dan penduduk di Daerah Temburong yang dulunya terpisah dengan tiga daerah lainnya.

    Sebuah lagi jambatan penghubung iaitu Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha yang menghubungkan pusat bandar dan Kampung Sungai Kebun turut memberi kesenangan dan kemudahan kepada penduduk di kawasan tersebut untuk mendapat akses dengan lebih cepat.

    MELANGKAH KE ERA METER PINTAR

    Turut dicapai sepanjang tempoh 40 tahun kemerdekaan ini, selain telah melaksanakan pemasangan meter prabayar untuk perkhidmatan elektrik, negara juga telah menukarkan meter air kepada meter pintar yang berkonsepkan prabayar di bawah projek Unified Smart Metering System (USMS).

    Projek ini telah mula dijalankan bermula 2 Oktober 2022 yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Syarikat DST Network Sdn Bhd (DSTN) dan disokong oleh Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR), pembekal utiliti air utama di negara ini.

    Perlaksanaan pemasangan meter pintar ini juga telah pun dimandatorikan bagi permohonan bekalan air baharu bagi semua kediaman perumahan tetap dan bangunan-bangunan baharu komersial dan kerajaan.

    Pengenalan sistem itu antara lain bertujuan untuk mengatasi masalah pembaziran air di negara ini.

    Dengan adanya penyediaan pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang berdaya tahan itu, ia menjadi bukti bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat di negara ini.

    Ini akan memberi impak positif terhadap kesejahteraan awam dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara yang lebih mapan dan dinamik, sekali gus dapat menyumbang kepada pembangunan sosial.

    Di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan penduduk dan semua usaha kerajaan ini adalah bagi memastikan matlamat Wawasan Brunei 2035 akan tercapai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda