Baru-baru ini, saya ada membaca berita dalam akhbar Media Permata bertarikh 6 Oktober bertajuk ‘Simpan lemak khinzir, sebuah restoran didenda’. Sebagai seorang pengguna dan masyarakat awam, saya berasa amat bimbang dan kecewa dengan kejadian seperti ini yang boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap status halal premis makanan di negara kita.
Pensijilan halal bukan sekadar tanda pada dinding, tetapi satu tanggungjawab besar yang melibatkan soal akidah dan kepercayaan pengguna Muslim. Oleh itu, pihak berkuasa perlu terus memperketat pemantauan dan pemeriksaan berkala terhadap semua kedai makan, terutama yang menggunakan bahan import atau diusahakan oleh pihak bukan Islam.
Insiden sebegini juga sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan dalam keluarga saya sendiri. Isteri saya, misalnya, kini berasa ragu dan berhati-hati untuk makan di luar.
Setakat ini, beliau lebih memilih untuk memasak di rumah kerana bimbang dengan tahap kehalalan makanan yang dijual, meskipun di premis yang kelihatan meyakinkan. Ini menunjukkan betapa besarnya kesan sesuatu pelanggaran terhadap keyakinan masyarakat.
Saya berharap tindakan tegas seperti denda dan pembatalan lesen dapat diteruskan terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat halal. Hanya dengan pengawasan berterusan dan kejujuran para pengusaha, kepercayaan masyarakat terhadap industri makanan halal di Negara Brunei Darussalam dapat dikekalkan dan diperkukuhkan.
Bob Fooder







