Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus perkasa pengajian islam

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini bertitah bahawa pada masa ini tidak terdapat tanggapan tentang institusi pendidikan tinggi Islam itu tidak relevan malah meletakkan pendidikan tinggi Islam itu sebagai keperluan asasi yang tidak boleh diabaikan, kerana daripadanya muncul tamadun yang sempurna.

    Baginda semasa bertitah pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-9 UNISSA yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas turut menekankan bahawa pengajian dan pendidikan Islam mesti terus diperkasa, kerana ia adalah teras segala kepentingan, yang mampu untuk menghadirkan segala kebaikan untuk bangsa dan negara.

    “Sebagai gedung penjana ilmu pengetahuan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran dan tuntutan semasa. Ini termasuklah kesediaan UNISSA untuk terlibat dalam mengharu-ngi gelombang Revolusi Industri Keempat, yang secara drastik telah merubah cara hidup manusia dan dunia dalam pekerjaan.

    “Bagi menghadapi cabaran ini, UNISSA perlu peka dalam menyedia dan menawarkan program-program pengajiannya.

    “Program-program tersebut mustahak dikenal pasti sebagai mampu untuk memenuhi keperluan-keperluan semasa dan juga secocok dengan transformasi digital, tanpa mengabaikan peranan utamanya untuk melahirkan ulama dan cendekiawan yang berwibawa,” titah Baginda lagi.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-9 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Baginda menitahkan bahawa UNISSA sebenarnya adalah tersendiri. Ia berbeza dengan pusat-pusat pengajian tinggi yang lain. Semangat dan sasarannya juga berbeza.

    “Kerana itu pada hemat Beta, bukanlah perkara yang mendesak untuk mesti mengejar ranking dunia yang sedia ada, berdasarkan ia hanya ciptaan orang lain dan kriteria kecemerlangan juga ditetapkan oleh mereka sendiri,” titah Baginda.

    Menurut Baginda, aras kecemerlangan sebenarnya tidak semestinya ditentukan oleh sebuah komuniti atau negara sahaja, melainkan sepatutnya menjadi hak kepada banyak pihak untuk sama-sama menentukannya.

    “Kecemerlangan memang wajar dicari. Kita tidak boleh berhenti dari mengusahakannya. Bagi UNISSA, buktikanlah ianya cemerlang. Wujudkan kriteria kecemerlangan melalui kerja-kerja akademik oleh para pensyarah dan penuntut, dengan melazimkan rajin menulis, seperti buku atau kajian atau artikel-artikel ilmiah, dan menghantar tulisan-tulisan tersebut ke jurnal-jurnal antarabangsa,” tekan Baginda Sultan.

    Baginda juga bertitah menyatakan bahawa kita sedia mempunyai banyak bahan, malah di UNISSA sendiri bahan-bahan itu sudah ada, tinggal sahaja lagi kita mahu ataupun tidak untuk memanfaatkannya.

    Program-program pengajian yang terdapat di UNISSA, antaranya ialah Undang-undang dan Perundangan Syariah, Usuluddin, Tahfiz dan Qira’at, Pengurusan Perniagaan, Sains Dalam Kewangan Islam, Syariah (Fiqah dan Kehakiman), Sejarah dan Tamadun Islam, Bahasa Arab dan Penterjemahan, Sains Halal dan lain-lain.

    “Semua itu adalah bahan, yang bukan saja jurusan untuk dipelajari, tetapi juga boleh ditulis dalam bentuk buku atau tulisan atau kajian atau artikel.

    “Jika ini mampu dibuat sehingga jadi budaya kepada UNISSA, maka Beta berpendapat, inilah antara ciri kriteria kecemerlangan yang lebih melayakkan UNISSA menempati ranking,” titah Baginda.

    “Beta sukacita mengambil maklum bahasa UNISSA telah menyediakan Pelan Strategik 2019-2023.

    Beta berharap pelan ini akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti pengajian yang ditawarkan, mampu menghasilkan penyelidikan bermutu serta memberikan perkhidmatan dan urus tadbir yang cemerlang. Ketiga-tiga elemen ini adalah merupakan ciri yang mesti wujud di UNISSA,” tambah Baginda di penghujung titahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda