Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus perkukuh kemahiran tenaga kerja

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Usaha menangani pengangguran dan meningkatkan kecekapan tenaga kerja tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata, malah memerlukan kerjasama aktif semua pihak termasuk syarikat, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat, keluarga bahkan individu.

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Acara Kemuncak Jelajah Kerjaya 2025 yang berlangsung di Dewan 1 dan 2, BRIDEX Jerudong, hari ini.

    Menurutnya, isu pengangguran kekal menjadi antara agenda utama negara di mana berdasarkan Kajian Tenaga Kerja 2024, kadar pengangguran negara dicatatkan ialah 4.7 peratus, menurun daripada 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.

    “Walaupun ini menunjukkan perkembangan positif, kita tidak boleh berpuas hati,” tegasnya.

    Beliau juga menegaskan Jelajah Kerjaya 2025 menjadi platform penting untuk menghubungkan pencari kerja dengan majikan di daerah masing-masing dan pendekatan itu jelas membantu memudahkan proses pengambilan dan memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Dalam masa sama, beliau menyatakan kita turut berhadapan dengan cabaran seperti ketidakpadanan kemahiran, kestabilan pekerjaan serta kebergantungan terhadap sektor tertentu.

    “Oleh itu, usaha memperkukuhkan kemahiran tenaga kerja perlu diteruskan melalui program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) agar pekerja sentiasa bersedia menghadapi perubahan industri.”

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew turut menekankan selain usaha daripada pihak pencari kerja, pihak syarikat juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan jaminan pekerjaan dan pengurusan tenaga kerja yang beretika kerana pelaburan terhadap pekerja bukanlah kos semata-mata tetapi merupakan pelaburan strategik asas.

    “Setiap syarikat juga mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan job security dan pengurusan tenaga kerja yang beretika.

    “Apa yang diamati, pemberhentian pekerja secara berulang atau pengurangan tenaga kerja yang tidak dirancang bukan saja memberi kesan kepada individu, tetapi juga menambah kos operasi jangka panjang.

    “Syarikat yang mengekalkan tenaga kerja mahir, melabur dalam latihan dan membina budaya kerja positif sebenarnya akan menikmati produktiviti yang lebih tinggi serta reputasi yang kukuh di pasaran.

    “Pelaburan terhadap pekerja bukanlah kos semata-mata, tetapi satu pelaburan strategik asas kepada daya tahan ekonomi dan kestabilan sosial negara,” tekannya.

    Beliau turut menyeru supaya syarikat-syarikat akan menggunakan peluang itu bukan sekadar untuk mencari calon yang sesuai tetapi juga untuk memberi inspirasi, bimbingan dan peluang kepada pencari kerja tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda