Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Terus perkukuh kerjasama melalui MoU

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Untuk enam tahun berturut-turut, Gleneagles JPMC dan Kementerian Kesihatan terus mengukuhkan rakan kongsi awam-swasta melalui majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memulakan program gaya hidup sihat.

    Ini termasuk Program Tempat Kerja dan Kesihatan (WAH), Program Persekitaran dan Gaya Hidup Bahagia (HEAL),Program Perkembangan, Pembelajaran, Mengoptimumkan Ke Arah Kesejahteraan Yang Lebih Baik di Sekolah (GLOW) dan program berkaitan gaya hidup sihat lainnya.

    Majlis penandatanganan MoU itu berlangsung hari ini, di Tarindak D’Polo, Kelab Polo Diraja Brunei, Jerudong dan majlis berkenaan telah dihadiri oleh Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku tetamu kehormat majlis.

    Menandatangani MoU bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, manakala menandatangani bagi pihak Gleneagles JPMC, Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay.

    Manakala hadir sebagai saksi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Promosi Kesihatan, Awang Mohammad Firdey Hazarullah bin Haji Mohd Zain dan Ketua Pegawai Operasi Gleneagles JPMC, Awang ‘Izzul Hamzi bin Haji Jomari.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa hadir ke majlis penandatanganan MoU berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berpeluang menyaksikan beberapa modul yang berkaitan dengan program tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dengan MoU itu, sumbangan berjumlah $250,000 untuk membiayai program-program berkenaan telah disampaikan oleh Dr Peter Tay bagi mewakili Gleneagles JPMC kepada Dr Hajah Rafidah.

    Perjanjian itu menggariskan komitmen kedua-dua pihak dalam terus memperkukuh dan menyelaraskan usaha sedia ada dan baharu untuk menggalakkan gaya hidup sihat, mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam.

    Terdahulu itu, Dr Peter Tay dalam ucapannya antara lain telah menggariskan kepercayaan, bahawa penjagaan kesihatan merupakan tonggak asas kepada masyarakat untuk berkembang maju.

    “Misi kami melangkaui menyediakan perkhidmatan perubatan yang luar biasa kepada pesakit dan kami juga amat komited untuk menyumbang kepada keseluruhan kesihatan dan kesejahteraan negara kita, dan derma hari ini merupakan bukti kepada komitmen ini,” jelasnya.

    Selain itu beliau turut mengongsikan, Program WAH telah menyaksikan kejayaan yang luar biasa dengan lebih 20,000 orang penjawat awam mengambil bahagian dalam pemeriksaan kesihatan, manakala Program HEAL telah melibatkan ribuan orang dalam aktiviti fizikal.

    Sementara Program GLOW baharu adalah bertujuan untuk mengubah sekolah menjadi persekitaran yang menggalakkan kesihatan, menyokong kesejahteraan generasi muda.

    Sejak Program WAH bermula pada 2019, seramai lebih 25,000 orang penjawat awam telah menyertai saringan kesihatan, dan sebanyak 717 sesi latihan dijalankan di semua kementerian.

    Sebanyak empat buah kementerian telah berjaya menamatkan program perantis menurunkan berat badan yang dipanggil Kelab Gaya Hidup Cergas & Aktif (FALC), di mana pada akhir program sebanyak 35 peserta iaitu 10.5 peratus telah mencapai lebih daripada 5 peratus penurunan berat badan dan 48 orang peserta lagi iaitu 14.5 peratus pula telah mencapai 5 peratus penurunan berat badan.

    Pemenang ‘Terbaik antara yang Terbaik’ untuk peserta wanita telah berjaya menurunkan sebanyak 21.5 peratus berat badannya, manakala peserta lelaki berjaya mencapai 16.8 peratus penurunan berat badan dalam program berkenaan.

    Sebanyak 24 jerayawara laman web Program Kesihatan Tempat Kerja (whp.gov.bn) telah dijalankan di sektor kerajaan dan swasta yang mana kira-kira 3000 peserta telah mendaftar kursus gaya hidup sihat dalam talian dan sebanyak 1142 modul telah disiapkan oleh peserta.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...