Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Negara Brunei Darussalam dikurniakan dengan kekayaan biodiversiti flora dan fauna yang merupakan khazanah negara serta aset bernilai bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga untuk generasi akan datang.
“Namun begitu, kita tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai ancaman global seperti perubahan iklim, kehilangan habitat dan peningkatan pencemaran.”
“Keadaan ini menuntut kita untuk terus memperkukuh usaha dalam pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti negara secara berkesan,”
Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dalam ucapannya di Bengkel Merangka Pelan Pelaksanaan Dasar Biodiversiti Negara dan Pelan Tindakan Strategik 2024-2030 (NBPSPA) di Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.
Beliau menekankan Negara Brunei Darussalam mempunyai komitmen dalam memastikan pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti dilaksanakan secara efektif, bukan sahaja demi kepentingan negara, malah sebagai sumbangan kepada usaha global menangani krisis kepupusan biodiversiti.
Hajah Tutiaty turut menyatakan semenjak Negara Brunei Darussalam menjadi Parti kepada Konvensyen Mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD) pada 2008, negara telah secara progresif mempertingkatkan komitmen dalam usaha memulihara dan mengurus biodiversiti secara lestari melalui Pelan Strategik dan Tindakan Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP).
Semasa Persidangan CBD CAP 15 pada Disember 2022, jelasnya, Konvensyen CBD telah menetapkan negara-negara parti untuk menyemak dan mengemas kini NBSAP masing-masing selaras dengan Kunming-Montreal Global Biodiversity framework (KMGBF) yang mengandungi empat matlamat dan 23 sasaran untuk dijadikan sebagai panduan utama dalam memacu tindakan global dalam pemuliharaan biodiversiti.
Dalam menyahut seruan itu, Hajah Tutiaty berkata Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan Dasar Biodiversiti Negara dan Pelan Tindakan Strategik 2024-2030 (NBPSPA) selaras dengan KMGBF untuk digunakan sebagai garis panduan utama dalam pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti negara.
“Dasar ini telah dihadapkan kepada pihak CBD pada 31 Disember 2024, dan versi muktamadnya telah dimuat naik di laman sesawang CBD pada 15 Julai 2025. Saya percaya pencapaian ini merupakan hasil usaha kolektif dan komitmen berterusan semua pihak.”
Mengulas mengenai bengkel berkenaan, Hajah Tutiaty menerangkan ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perhutanan selaku Jabatan Fokal Negara Brunei Darussalam kepada CBD, bagi memastikan sasaran NBPSPA itu dapat diperincikan dengan lebih jelas, berkesan, responsif serta selari dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 yang menekankan pembangunan mampan serta keseimbangan antara alam sekitar dan kemajuan negara.
“Kejayaan pelaksanaan NBPSPA ini akan dapat diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan petunjuk khusus yang disusun untuk memantau, menilai, dan melaporkan kemajuan pelaksanaan NBPSPA itu nanti dari semasa ke semasa.”
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab memulihara biodiversiti termasuk memastikan KPI dan petunjuk yang telah ditetapkan itu, dapat dicapai adalah tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya ia memerlukan usaha kolektif, kerjasama yang padu serta pemahaman yang sama di kalangan semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, ahli akademik, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


