Oleh Nurdiyanah R. –
Tahun baharu 2024 telah bermula dengan gempa bumi di Jepun pada hari pertama tahun baharu, membuktikan rantau Asia Pasifik sememangnya amat terdedah kepada bencana alam yang kerap berlaku.
Hanya beberapa minggu sebelum itu, China juga mengalami gempa bumi yang meragut lebih 100 nyawa. Daripada gempa bumi, tsunami kepada ribut dan kesan El Nino, hanya untuk menamakan beberapa, negara-negara di rantau Asia Pasifik telah terjejas teruk oleh bencana berkaitan iklim dan cuaca sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Oleh yang demikian, Pejabat Serantau Asia Pasifik Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Kuala Lumpur terus menekankan komitmennya kepada komuniti berisiko di rantau ini dalam perancangan tahun 2024 untuk menyokong komuniti dalam memulihkan, membina semula dan mengukuhkan daya tahan mereka.
IFRC ialah satu rangkaian kemanusiaan yang terdiri daripada 191 persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah yang berusaha menyelamatkan nyawa manusia di seluruh dunia. Ia bertindak sebelum, semasa dan selepas bencana dan kecemasan kesihatan untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan kehidupan orang yang mengalami kemudahterancaman.
“Peralihan kuasa yang dramatik di Afghanistan dan Myanmar pada 2021 meletakkan rantau Asia Pasifik di barisan hadapan perhatian tentang isu kemanusiaan. Sejak itu, krisis di Eropah, Afrika dan Timur Tengah telah mengalihkan tumpuan daripada Asia Pasifik.
Namun, mana-mana pekerja kemanusiaan yang bekerja di rantau ini akan menghadapi cabaran besar pada tahun 2024,” itulah antara yang ditekankan oleh Pengarah Serantau IFRC untuk Asia Pasifik, Alexander Matheou dalam kenyataannya berhubung bagaimana IFRC memandang ke hadapan untuk 2024 berdasarkan perkongsian daripada Pejabat Serantau Asia Pasifik IFRC di Kuala Lumpur kepada penulis secara dalam talian, baru-baru ini.
Alexander telah bekerja dalam sektor kemanusiaan selama 20 tahun di dalam dan di luar IFRC. Beliau berpengalaman dalam pelbagai bidang, termasuk: tindak balas bencana, sekuriti makanan, pengecualian sosial, perpindahan dan migrasi, pencegahan HIV dan TB serta pembangunan institusi. Alexander merupakan seorang penulis yang menyumbang secara tetap pendapatnya tentang isu kemanusiaan dan pembangunan kepada penerbitan dan forum dengan pelbagai khalayak.
FOKUS IFRC DEMI NILAI KEMANUSIAAN SEJAGAT
Menyentuh mengenai beberapa isu utama yang menjadi fokus dalam IFRC, Alexander menjelaskan krisis yang kompleks dan berlarutan di rantau ini akan kekal menjadi keutamaan seperti Afghanistan, Myanmar dan perpindahan di Bangladesh.
“Di Afghanistan, kami telah memasuki satu normal baharu dengan isolasi antarabangsa, rayuan kecemasan yang kekurangan dana dan kemudahterancaman kronik.
“Sebagai tindak balas, kami tidak ingin bergelut untuk mengekalkan semua kerja kecemasan yang terdapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebaliknya, kami akan menumpukan sokongan kami kepada beberapa perkhidmatan teras yang direka untuk dijalankan untuk jangka masa sederhana hingga panjang, termasuk tempat perlindungan dan latihan vokasional untuk golongan wanita miskin dan bantuan reintegrasi untuk ratusan ribuan orang yang pulang dari Pakistan,” jelasnya.
Beliau terus menegaskan IFRC akan bekerja keras untuk advokasi kepada penderma untuk menyokong visi yang lebih panjang ini berbanding bantuan kecemasan yang berkitaran pendek.
“Myanmar juga akan mengalami isolasi antarabangsa dan peningkatan keganasan dan perpindahan. Negara yang berpecah akan menyukarkan agensi berpusat di ibu negara seperti IFRC untuk membantu orang yang memerlukan dan ini akan meningkatkan pergantungan kepada organisasi-organisasi tempatan di kawasan yang tidak dapat diakses.
“Bilangan kumpulan bersenjata dan kekurangan akses akan membimbangkan penderma.
Dalam keadaan ini, kerja IFRC yang banyak diselaraskan melalui Palang Merah Myanmar tidak akan dapat mencapai skala yang diharapkan, tetapi kami akan menyumbang dengan cara memberikan tumpuan kepada pembangunan kapasiti cawangan-cawangan Palang Merah di kawasan berisiko tinggi dan dengan bertindak balas, dalam kapasiti kami, kepada isu kesihatan dan iklim yang memburukkan lagi kemudahterancaman dalam negara,” tekan Alexander.
Alexander turut menambah bahawa krisis yang berkaitan, iaitu isu perpindahan Rohingya merentasi sempadan di Bangladesh yang kini menjadi krisis berlarutan, juga akan menghadapi cabaran di mana perhatian umum dan pembiayaan telah berkurang. Ia akan menjadi semakin sukar untuk berbicara dengan kredibiliti tentang pulangan yang selamat dan bermaruah kerana keadaan keselamatan yang semakin teruk di Myanmar.
Sementara itu, Alexander dalam perkongsiannya turut menjelaskan di samping krisis-krisis yang kompleks ini, Asia Pasifik sudah pun berada di tengah-tengah kecemasan panjang risiko iklim.
“Tahun 2022 dan 2023 merupakan tahun rekod bagi IFRC dalam bertindak balas terhadap taufan, banjir, gelombang haba dan risiko kesihatan berkaitan iklim, seperti denggi dan filariasis. Secara purata, kami kini bertindak balas kepada dua kecemasan baru setiap bulan. Pada 2023, kami mempunyai 44 respons aktif di rantau ini. Trend ini dipercayai akan berterusan pada 2024,” kongsinya lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut mengatakan bahawa dengan perhatian dunia yang terlalu sibuk dengan krisis lain, pembiayaan kemanusiaan sukar untuk dimobilisasi walaupun untuk bencana iklim berskala besar di Asia Pasifik. Akibatnya, pergantungan akan tertumpu pada badan kebangsaan dan tempatan. Ini dapat dilihat dalam bencana di Filipina, Bangladesh, Nepal dan Vanuatu.
Namun begitu, kemajuan dalam kesiapsiagaan di kebanyakan kawasan rantau ini telah mengurangkan kehilangan nyawa semasa krisis iklim, walaupun ia menyumbang kepada perhatian umum yang rendah terhadap rayuan kecemasan tersebut.
“IFRC akan menumpukan perhatian kepada dua strategi pelengkap sebagai tindak balas kepada trend-trend ini. Pertama, kami akan memberikan tumpuan kepada kapasiti Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah untuk bertindak balas secara bebas. Kedua, kami akan menggunakan Dana Kecemasan Tindak Balas Bencana (DREF) untuk menyuntik pembiayaan pantas ke dalam respons ini apabila ia diperlukan, mengelakkan keperluan untuk membuat rayuan kecemasan melainkan skala bencana memerlukannya,” jelasnya lanjut.
TERUS LAKAR PERANCANGAN PROAKTIF
Alexander turut menekankan bahawa tahun 2024 juga mungkin membawa krisis baharu.
Peristiwa iklim mega, seperti banjir besar di Pakistan pada 2022, sentiasa merupakan satu kemungkinan. Semua perhatian juga tertumpu kepada Korea Utara, kerana ketegangan yang semakin meningkat di semenanjung dan juga disebabkan oleh ketidakpastian berterusan sama ada kerajaan akan membenarkan pemulangan beberapa agensi antarabangsa yang beroperasi di sana.
“IFRC telah mengekalkan kehadiran kakitangan tempatan sepanjang tempoh kawalan pergerakan walaupun program telah terhenti. Kami komited untuk berinteraksi semula secepat mungkin, tetapi kami tidak mengetahui apa yang diperlukan dari segi tindak balas dan apa yang dibenarkan.
“Mungkin yang paling membimbangkan daripada semua yang tidak diketahui ialah bagaimana risiko akan berkembang di Laut China Selatan yang tegang. Magnitud risiko ini sangat besar dan sangat sensitif sehinggakan perancangan kontingensi adalah menggerunkan dan rumit. Namun kita mesti meletakkan fikiran kita kepada perancangan sedemikian pada tahun 2024,” tekannya.
Dari segi positif, ujarnya, terdapat beberapa indikasi bahawa negara-negara Asia Pasifik akan mengambil lebih banyak tanggungjawab kewangan untuk tindakan kemanusiaan pelbagai hala di rantau ini pada 2024. Walaupun sumbangan tersebut hanya merupakan sebahagian kecil berbanding dengan sumbangan daripada penderma-penderma tradisional.
“Buat kali pertama, Persidangan Serantau Asia Pasifik kami dibiayai sepenuhnya oleh persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di Asia Pasifik (termasuk Timur Tengah dan Afrika Utara, MENA). Demi kesejahteraan rantau ini dan daya maju sistem pelbagai hala yang lebih luas, ini adalah trend yang harus dibina pada 2024. Bukan sahaja dibina di atas asas yang kukuh di Asia Timur, tetapi di Asia Tenggara dan Asia Selatan juga,” kongsi beliau.
Di akhir perkongsian, Alexander turut menyatakan perkembangan dalam kecemasan kompleks di rantau ini akan lebih bergantung kepada tindakan negara-negara jiran berbanding dengan kuasa barat yang jauh. Diplomasi kemanusiaan di ibu kota dan kedutaan negara-negara Asia Pasifik yang berpengaruh akan menjadi lebih penting pada tahun 2024 berbanding sebelum ini.
“Sebab itulah IFRC perlu mempertimbangkan semula tentang di mana, bagaimana dan apakah sebab-sebab ia harus menyampaikan mesej. Ia tidak tertumpu kepada keperluan untuk sokongan kewangan, tetapi lebih berakar umbi dalam analisis realistik mengenai kuasa dan pengaruh serta lebih tertumpu kepada cadangan konkrit untuk melindungi maruah orang dalam krisis,” tegasnya.