Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Di sebalik situasi yang mencabar semasa penularan COVID-19, beberapa siri aktiviti telah berjaya diadakan bagi mendukung perkembangan serta merangsang aktiviti-aktiviti perekonomian berkaitan dengan industri pelancongan di negara ini.
Ini dengan memfokuskan kepada aktiviti ke arah mendukung pelancongan domestik, seperti Kenali Negara Kitani (KNK), Festival Disember Brunei (BDF) selain menaik taraf perlaksanaan kompleks penginapan di Taman Negara Ulu Temburong oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) melalui penglibatan syarikat pelaburan langsung asing (FDI), Sundaland Resorts Pte Ltd.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin mengongsikan perkara itu dalam mukadimah semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato turut mengongsikan jumlah ketibaan pelancong ke Negara Brunei Darussalam setelah pelonggaran terhadap langkah pengawalan membendung penularan COVID tahun lalu, telah mencatatkan peningkatan daripada sekitar 3,543 pelancong (2021) kepada 35,701 pelancong (2022).
Beliau seterusnya menjelaskan, bagi mendukung pertumbuhan dan pembangunan industri pelancong, KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan terus memberi penekanan kepada usaha ke arah pembangunan, mempelbagaikan, mengukuhkan dan mempromosi produk pelancongan.
“Ini dengan berteraskan kebudayaan, pengembaraan atau aktiviti lasak dan juga alam semula jadi, selain memastikan kemudahan, infrastruktur serta pemberian perkhidmatan pelancong akan terus dipertingkatkan bagi menarik serta meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negara ini,” jelasnya.
Selain menggalakkan kedatangan pelancong luar negara, tambahnya, pihak kementerian juga akan meneruskan usaha mempromosi pelancongan domestik melalui program seperti KNK, BDF, Ekspo Produk Tempatan dan sebagainya.
“Ini adalah bagi menggalakkan penduduk di negara ini untuk bercuti dan berbelanja di dalam negara sendiri, terutama sekali semasa musim cuti penggal persekolahan, bagi merangsang serta menggiatkan lagi aktiviti-aktiviti perekonomian di dalam negara,” katanya.