Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus pupuk semangat patriotik generasi muda

    Oleh Nurdiyanah R.

    Mengimbau detik-detik hari kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984 sama ada dari perkongsian cerita nenek moyang kita mahu pun sedutan rakaman istimewa yang masih ditayangkan di kaca televisyen dan media-media sosial terkini pastinya mampu mewujudkan aura yang begitu berbeza yang sukar dicari ganti.

    Laungan kalimah ‘Allahu Akbar’ yang bergema sebanyak tiga kali mempamerkan semangat juang, rasa terharu, gembira dan bersyukur dalam jiwa setiap insan-insan yang menghadiri malam penuh bersejarah berkenaan ketika Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

    Seiring berlalunya waktu, setelah melewati pelbagai cabaran kehidupan antaranya krisis kesihatan yang melanda dunia dan tidak terkecuali negara kita, pastinya kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi dengan rahmatNya, baru-baru ini, seluruh rakyat dan penduduk tanah air ini telah berpeluang meraikan sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan yang ke-38 tahun meski pun dalam meniti norma baharu.

    Apa yang menjadi persoalannya, sebagai anak watan di bumi Darussalam ini, bagaimana hati dan perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Apakah yang kita rasakan? Sejauh manakah matlamat hidup kita ke arah memartabatkan agama, bangsa dan negara?

    Pentingnya semangat patriotisme

    Jika kita merenung sejenak, setiap kali munculnya hari bersejarah 23 Februari, isu berkaitan semangat patriotisme sering kali menjadi bualan masyarakat. Patriotisme selalu dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

    Awang Abdul Aziz memperagakan salah satu pakaian lengkap tradisi puak Tutong, semasa menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan di ibu negara baru-baru ini.
    Dayang Nornaqibah turut berkesempatan meluahkan pandangannya berkaitan golongan muda mestilah sentiasa aktif dan mandiri untuk menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi mencapai pembangunan negara.
    Sepasang adik kembar, Dayang Nur Safirah Bashirah dan Dayang Nur Safiyah Bashirah menonjolkan semangat kebangsaan mereka dengan mengibar bendera kecil negara meskipun hanya berada di rumah sewaktu sambutan berkenaan.
    Semangat patriotisme juga jelas terpancar dalam jiwa lapan orang penggemar sukan berbasikal di mana mereka telah mengadakan acara Kayuhan Perjalanan XPDC sejauh 90 kilometer bermula dari RPN Lumut ke Labi dan kembali semula ke RPN Lumut.

    Apa yang perlu diketahui, semangat patriotisme terhadap negara tidak sewajarnya hanya timbul dalam perjuangan menuntut kemerdekaan atau apabila negara berada dalam ancaman musuh semata-mata. Namun dalam keadaan aman sekali pun, semangat patriotisme seharusnya menjadi sebahagian daripada nilai murni sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini sekali gus menjadi pendorong untuk terus berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi membangun dan memajukan diri, keluarga, masyarakat dan tanah air amnya.

    Menyelami makna kemerdekaan

    Luahan kecintaan kepada negara cukup terserlah, insan yang memperagakan salah satu jenis pakaian lengkap tradisi puak Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, selaku ketua pasukan puak Tutong, semasa menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan di ibu negara bersama puak-puak jati yang lain di bawah Kumpulan Bistari mengongsikan kegembiraan dan penuh kesyukuran dapat sama-sama bergabung meraikan sambutan kemerdekaan negara yang begitu dinanti-nantikan setiap tahun.

    Tambahnya, dalam meniti Fasa Awal Endemik, lebih-lebih lagi segala urusan yang dilaksanakan sejajar dengan norma baharu demi sama-sama melindungi, namun ia bukanlah menjadi alasan untuk kita semua tidak turun padang memeriahkan hari bersejarah bersama raja yang kita cintai.

    “Kemerdekaan itu pastinya merujuk kepada sebuah negara yang aman dan tenteram, di samping memiliki bangsa mahu pun puak yang bersatu padu de-ngan menghormati antara satu sama lain serta mengamalkan sikap taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin negara. Jika semua ini diamalkan, Insya-Allah, kita sebagai masyarakat yang turut mempertahankan adat dan budaya sejajar dengan nilai-nilai keislaman mampu mencapai wawasan negara 2035 dengan sebaik-baiknya,” ujarnya lagi.

    Terokai peranan masing-masing

    Sementara itu, dalam menjejaki warna-warni sambutan kemerdekaan tanah air, Dayang Nornaqibah binti Abdul Hamid turut berkesempatan meluahkan pandangannya bahawa golongan generasi muda mestilah sentiasa aktif dan mandiri bagi menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk mencapai pembangunan negara.

    Beliau yang kini selaku pengurus sebuah pusat pelancongan terletak di Kampung Tanjong Maya dikenali sebagai Lamin Warisan, menambah beliau begitu optimis dalam melihat perkembangan sektor keusahawan melibatkan pelancongan di Negara Brunei Darussalam, di mana kita boleh melihat peningkatan dalam penglibatan belia tanah air.

    “Melihat situasi penularan COVID-19 melanda negara dari gelombang pertama sehingga sekarang, kita dapat menyaksikan sendiri impaknya kepada sektor pelancongan tempatan. Walaupun adanya perbatasan, namun usaha setiap sektor pelancongan domestik dalam mempelbagaikan pakej tawaran mereka untuk menyesuaikan permintaan penduduk tempatan kita sangat memberangsangkan. Sesetengahnya yang mengadakan aktiviti dengan menggunakan platform teknologi dalam talian bagi menarik para pengunjung di kala norma baharu.

    “Dalam usaha berterusan mencapai Wawasan Brunei 2035, semoga kita akan sentiasa bersemangat untuk melalui pelbagai cabaran dan dugaan dan membuktikan kepada mata dunia bahawa Negara Brunei Darussalam ialah sebuah negara yang mampu berdiri teguh,” ujarnya dengan penuh ketulusan.

    Bersama bendera negara

    Walaupun tidak berpeluang menyertai perbarisan Hari Kebangsaan negara, baru-baru ini, semangat patriotisme juga jelas terpancar dalam jiwa lapan orang penggemar sukan berbasikal di mana mereka telah mengadakan acara Kayuhan Perjalanan XPDC sejauh 90 kilometer bermula dari RPN Lumut ke Labi dan kembali semula ke RPN Lumut.

    Salah seorang peserta, Awang Zaidi merakamkan detik kegembiraan mengisi cuti awam bersama rakan-rakan yang lain melakukan aktiviti sihat bersempena hari kemerdekaan negara dan dengan berpeluang mengibarkan bendera negara sewaktu berhenti rehat yang pastinya memiliki nilai sentimental yang tersendiri bagi seluruh rakyat dan penduduk yang berpijak di bumi Darussalam ini.

    “Jika kita renung kedudukan bendera kebangsaan, ia adalah amat tinggi dan wajib dijaga, digunakan, disempurnakan dan disimpan dengan penuh luta- nan (sempurna) dan bertanggungjawab. Dalam erti lain, ‘diampaikan’ (diletakkan) di lantai atau tanah pun tidak boleh,” jelas beliau.

    Tidak ketinggalan juga, sepasang adik kembar kita, Dayang Nur Safirah Bashirah dan Dayang Nur Safiyah Bashirah dalam menonjolkan semangat kebangsaan mereka dengan mengibar bendera kecil negara meskipun hanya berada di rumah sewaktu sambutan berkenaan. Mereka yang baru berusia tujuh tahun, menuntut di Sekolah Rendah Sengkurong turut merakamkan ucapan Hari Kebangsaan kepada seluruh masyarakat di negara ini dengan iringan doa semoga negara sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda