Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus pupuk semangat patriotisme

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Feb – Sebagai usaha berterusannya dalam menyemai semangat patriotisme penuntut untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan taklimat kenegaraan ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ di Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA), di sini, hari ini.

    Turut hadir mendengarkan taklimat di dewan sekolah berkenaan bersama-sama seramai 193 orang pelajar Tahun 7 sekolah tersebut ialah Pengetua SMJA, Haji Jumaata Sonadey bin Haji Mornie.

    Di majlis itu, Pegawai Penerangan, Awang Ali Termizzi bin Haji Ramlli @ Haji Ramli telah menyampaikan taklimat mengenai tatacara menaikkan dan mengibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

    Beliau yang ditemu bual sejurus selesai sesi taklimat itu berkata, “Dengan adanya taklimat ini, pelajar akan dapat mendalami, menjiwai dan menghayati apa yang dimaksudkan bendera secara umum dan khususnya.”

    Menurutnya, menghayati lagu kebangsaan dan bendera negara ini perlu dipupuk dalam jiwa masing-masing bermula pada Tahun 7.

    Antara pelajar Tahun 7 SMJA yang menghadiri sesi taklimat kenegaraan ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’.
    Antara pelajar Tahun 7 SMJA yang menghadiri sesi taklimat kenegaraan ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’.
    Kuiz Kenegaraan turut memeriahkan sesi taklimat itu.
    Kuiz Kenegaraan turut memeriahkan sesi taklimat itu.

    Selain daripada mendengarkan taklimat, para penuntut juga menyaksikan tayangan video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’ di samping dimeriahkan dengan sesi Kuiz Kenegaraan.

    Dalam pada itu, majlis taklimat seumpamanya juga telah diadakan bagi penuntut-penuntut Tahun 7, Sekolah Menengah Arab Perempuan Katok.

    Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, taklimat mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Dayangku Nasibahanim binti Pengiran Haji Bakar

    Program berkenaan dihadiri oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran Sekolah, Hajah Rosnah binti Haji Mataha, guru-guru dan seramai 350 orang penuntut Tahun 7 sekolah berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda