Oleh Ak Zaki Kasharan, Yusrin Junaidi & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Bulan Ramadan bakal berlalu dalam masa beberapa hari sahaja lagi, namun majlis-majlis keagamaan seperti khatam Al-Quran terus giat dilaksanakan oleh pelbagai pihak di negara ini bagi meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda serta menyemarakkan lagi bulan suci ini.
Turut mengadakan majlis seumpamanya ialah Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) yang bersama-sama menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Sungkai di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku pengerusi dan pengarah eksekutif JPMC. Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar dan Pengurus Operasi, Pusat Jantung Gleneagles JPMC, Awang Izzul Hamzi bin Haji Jomari.
Majlis berkenaan telah diakhiri dengan berbuka puasa bersama-sama.
Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) juga telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Tadarus di Rumah Aman, Ibu Pejabat Polis Gadong, baru-baru ini.





Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri pesuruhjaya polis, Datin Hajah Kamariah binti Haji Abdul Hamid selaku yang di-pertua PEKERTI.
Turut hadir ialah Pengerusi PEKERTI, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman berserta 50 orang ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI serta ahli-ahli dari lima cawangan di bawah tadahan PEKERTI.
Bagi menandakan tamatnya bacaan 30 juzuk Al-Quran, Skim Pencak Silat Brunei dan Muara, buat pertama kalinya, juga telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa, hari ini.
Majlis yang berlangsung di kediaman Yang Di-Pertua Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam (PERSIB), Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji Ludin di Kampung Mata-Mata Gadong berkenaan turut diselajurkan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli PERSIB.
Manakala itu, seramai 135 orang yang terlibat dalam Program Ihya Ramadan bagi tahun ini, diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Majlis yang dihadiri oleh jemaah Masjid UBD, penduduk kampung, para Muslimah masjid serta belia dan beliawanis itu turut diselajurkan dengan penyampaian sijil-sijil Kursus Fardu Ain, Kursus Fardu Kifayah dan Program Qiyamulail.
Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan berupa bantuan makanan harian sempena bulan Ramadan kepada seramai 51 orang anak yatim yang disempurnakan oleh imam masjid berkenaan, Haji Joferi bin Haji Hidup.
Di Daerah Belait, Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi 25 orang kakitangannya yang diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan bersungkai, baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) itu menyaksikan kehadiran lebih 200 orang kakitangan dari Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi, Shaikh Khalid bin Shaikh Ahmed yang, bersama pegawai-pegawai kanan lain, menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada seramai 25 orang anak yatim dan kawasan sekitar Daerah Belait.