Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu berkaitan penyusuan susu ibu, Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2023 Peringkat Daerah Temburong telah diadakan di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), Temburong, kelmarin.
Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu 2023 membawa tema Memudahkan Penyusuan Susu Ibu: Menjana Perubahan Bermakna untuk Ibu Bapa Bekerja.
Hadir merasmikan sambutan bagi Daerah Temburong selaku tetamu kehormat ialah isteri Pegawai Daerah Temburong, Dayang Faezah binti Haji Jumarali. Turut hadir ialah pentadbir kanan, pegawai serta kakitangan Hospital PIHM.
Pada majlis itu, perkongsian mengenai kejayaan menyusukan anak damit secara eksklusif telah disampaikan oleh Dayang Nur Amalina binti Haji Sawal.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan cenderahati kepada tiga ibu terpilih yang berjaya menyusukan anak damit secara eksklusif oleh Dayang Faezah.
Beliau seterusnya berpeluang untuk menyaksikan pameran pendidikan mengenai penyusuan susu ibu yang diadakan. Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia merupakan aktiviti tahunan yang disambut pada setiap minggu pertama Ogos. Walaupun mempunyai tema berbeza setiap kali penganjurannya, namun sambutan berkenaan terus mengekalkan tujuannya iaitu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu berkaitan penyusuan susu ibu.