Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Negara Brunei Darussalam akan terus mendukung usaha-usaha serantau dan antarabangsa ke arah membanteras jenayah rentas sempadan dengan memberikan tumpuan kepada peluang-peluang dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN semasa era pasca COVID-19.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara ketika mempengerusikan Sidang Plenari Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-15 yang berlangsung secara maya di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri dan ketua-ketua delegasi dari negara-negara anggota ASEAN, setiausaha agung ASEAN serta pegawai-pegawai kanan dari negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, menyatakan bahawa Mesyuarat AMMTC ke-15 telah bersetuju untuk mengguna pakai Bandar Seri Begawan Declaration on Combating Transnational Crime Post-COVID-19 Pandemic yang akan menjadi asas kepada perancangan masa hadapan AMMTC untuk menangani trend-trend jenayah yang terkini khususnya pada era pasca COVID-19 nanti, seperti jenayah siber dan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.
Mesyuarat juga telah bersetuju untuk mengesahkan ASEAN Border Cooperation Roadmap yang telah menggariskan sejumlah usaha-usaha untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di kawasan-kawasan sempadan di rantau ASEAN.

Di samping itu, mesyuarat juga telah mempersetujui Kenyataan Bersama (Joint Declaration) bagi Mesyuarat AMMTC ke-15.
Kenyataan menyatakan bahawa semasa sidang plenari yang berlangsung pagi tadi, menteri-menteri dan ketua delegasi ASEAN juga telah bertukar pandangan mengenai usaha-usaha serantau untuk menangani isu jenayah rentas sempadan.
Dalam hal itu, Negara Brunei Darussalam telah menekankan akan perlunya bagi pendekatan seluruh negara untuk menangani ancaman jenayah rentas sempadan semasa musim pandemik COVID-19.
Mesyuarat juga telah membincangkan status pelaksanaan aktiviti-aktiviti di bawah Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) dan Mesyuarat Ketua-ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Ketua-ketua Bahagian Hal Ehwal Konsular Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (DGICM).
Kenyataan turut menyatakan bahawa Delegasi Negara Brunei Darussalam pada Mesyuarat AMMTC ke-15 diketuai oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkusaan dan Undang-Undang) di JPM, Dato Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu. Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-Undang) di JPM, Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd Taib serta pegawai-pegawai kanan dari JPM.
Mesyuarat AMMTC ke-15 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan akan berlangsung selama tiga hari hingga esok di mana ia bermula dengan mesyuarat-mesyuarat persediaan Preparatory SOMTC yang telah diadakan kelmarin.
Mesyuarat akan bersambung esok dengan sesi konsultasi bersama negara-negara rakan dialog Plus Three iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.