Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Al-Quran menjadi panduan tepat kepada semua umat Islam. Kalam Allah yang menjadi rujukan semua aspek kehidupan yang akan membantu kita ke jalan yang tepat.
Perkara berkenaan antara yang diluahkan oleh Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit semasa berlangsungnya Majlis Khatam Al-Quran bagi Jemaah Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar, kelmarin.
Beliau yang juga Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar melahirkan rasa syukur dengan sikap istiqamah para jemaah secara berjemaah bertadarus dan menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Dengan adanya majlis seumpama ini, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini turut mengungkapkan harapan agar ukhuwah para jemaah masjid berkenaan akan terus teguh dalam sama-sama mengeratkan hubungan sekali gus mengimarahkan masjid.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara berjemaah, disusuli dengan bacaan surah-surah lazim bermula Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin.
Bacaan takhtim dan Doa Khatam telah diketuai oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhd Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme, yang seterusnya membaca bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Tahlil.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan juga ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar.
Majlis itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Jemaah Tadarus Subuh Masjid Sungai Besar yang menyasarkan untuk mengkhatamkan Al-Quran sekali setiap bulan dalam usaha memakmurkan masjid dan mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran.


