PANAMA CITY, 23 DIS – Presiden Panama, Jose Raul Mulino, kelmarin menegaskan bahawa Terusan Panama akan ‘terus kekal milik Panama’ selepas Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam untuk mengembalikan terusan itu kepada pemilikan AS, lapor Xinhua.
“Setiap meter persegi Terusan Panama dan kawasan sekitarnya adalah hak milik Panama dan ‘akan kekal begitu’ serta ‘kedaulatan serta kemerdekaan negara kami tidak boleh dirunding,’ kata Mulino dalam satu hantaran video di media sosial.
Trump Sabtu lalu menyifatkan Terusan Panama sebagai ‘aset nasional yang penting untuk AS’ dan mengancam untuk mengambil semula terusan itu dengan alasan ‘harga terlalu tinggi’ dikenakan ke atas kapal AS.
Mulino berkata, beliau berharap untuk mengekalkan hubungan ‘penuh hormat’ dengan kerajaan baharu AS.
Beliau turut menekankan bahawa isu keselamatan seperti pendatang haram, pengedaran dadah, keganasan dan jenayah terancang perlu menjadi keutamaan dalam agenda dua hala kedua-dua negara.
Beliau mengingatkan bahawa menurut Perjanjian Torrijos-Carter yang ditandatangani pada 1977 oleh Presiden Panama ketika itu, Omar Torrijos; dan Presiden AS, Jimmy Carter, rakyat Panama telah memperoleh kembali kedaulatan ke atas terusan itu pada 31 Disember 1999.
Mulino menambah bahawa Perjanjian Torrijos-Carter mewujudkan keberkecualian kekal Terusan Panama, ‘menjamin operasinya yang terbuka dan selamat untuk semua negara. (…) sebarang pendirian yang bertentangan adalah tidak sah.’
(Caj) ditetapkan berdasarkan pendengaran terbuka, mengambil kira keadaan pasaran, persaingan antarabangsa, kos operasi serta keperluan penyelenggaraan dan pemodenan laluan air antara lautan,” kata Mulino. – Bernama