Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teruskan amalan soleh di bulan Syawal

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Amalan soleh yang dilakukan di bulan Ramadan perlu diteruskan juga di bulan Syawal, seperti sedekah, solat fardu berjemaah di masjid, membaca Al-Quran Al-Karim, menghadiri Majlis Ilmu dan zikir serta saling bermaaf-maafan dengan kunjung-mengunjungi ke rumah sanak-saudara dan rakan taulan.

    “Aidilfitri bermaksud kembali kepada fitrah dan ia merupakan Hari Kemenangan bagi umat Islam setelah berpuasa sama ada sebulan penuh atau 29 hari di bulan Ramadan. Oleh itu, selaku umat Islam, janganlah cemari Hari Raya dengan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT seperti berpesta atau melakukan perkara-perkara mungkar sehingga lupa diri setelah selesai menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.”

    Perkara tersebut antara inti pati tazkirah bertajuk Semarak Aidilfitri yang disampaikan oleh Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Hamzah bin Haji Jali semasa Program Masjidku Makmur, Negara Berkat yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    Dalam tazkirah itu, beliau turut menyentuh mengenai adab ketika berkunjung berhari raya, seperti tidak berkunjung sehingga lewat malam serta menjaga batas-batas pergaulan antara berlainan jantina seperti ketika bersalaman antara yang bukan mahram.

    “Jadikan Aidilfitri sebagai wasilah (jalan) untuk mengeratkan silaturahim sesama saudara Islam di samping menjaga solat fardu lima waktu dengan mencari keredaan Allah SWT dalam Hari Raya Aidilfitri,” tambah beliau.

    Program yang diungkayahkan itu antara lain bertujuan mengajak orang ramai bersama-sama hadir bagi memakmurkan masjid secara istiqamah dalam menunaikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu kerana sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara persendirian.

    Program berkenaan juga memberi peluang dan kemudahan kepada orang ramai meraih keberkatan dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang.

    Awang Hamzah menyampaikan tazkirah pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada majlis yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda