Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teruskan momentum Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Dalam meraikan Hari Raya dengan penuh kemeriahan, jangan sampai lupa untuk terus melakukan amal ibadat dan berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan sempurna secara Istiqamah untuk menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

    Agama Islam menuntut untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal kebajikan.

    “Apa yang diamalkan dan dikerjakan di bulan Ramadan seperti mengerjakan sembahyang sunat, bertadarus, berzikir, berdoa, beriktikad, bersedekah dan sebagainya, hendaklah diteruskan di bulan yang lain,” tegas khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini.

    Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat supaya terus berusaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah dan janganlah amalan tersebut dilakukan secara berkala dan bermusim dan ia lebih baik dilakukan secara istiqamah dan konsisten (berterusan).Menurut khatib, istiqamah merupakan salah satu sifat mulia dan terpuji yang sangat dituntut oleh Allah supaya kita sentiasa taat kepada-Nya.

    Dalam membina kekuatan dan keazaman untuk sentiasa berterusan dalam melakukan amal kebajikan, kita juga dituntut menerapkan sifat yang terpuji dan nilai murni yang telah semai sepanjang bulan Ramadan.

    Katanya lagi, perlu diketahui istiqamah yang dimaksudkan itu ialah berdiri teguh di atas jalan yang lurus, berpegang kukuh kepada aqidah Islam dan mengamalkan syariatnya dengan tekun, tidak berubah dan tidak berpaling dalam apa juga keadaan sekali pun.

    Menurut khatib lagi, ada pun dalam kita beristiqamah, sekali pun dengan amalan sedikit tapi berterusan adalah lebih afdal atau lebih baik, dari melakukan amalan yang banyak tapi sekali sekala.

    “Orang yang berterusan dalam mengerjakan ibadat, beramal kebajikan, berakhlak mulia dalam mentaati perintah Allah dan menjauhi larangannya di janjikan pelbagai ganjaran,” tambahnya.

    Khatib berkata, terdapat beberapa hikmah dalam melakukan istiqamah yang antaranya, seseorang yang beristiqamah dalam amal ibadatnya akan selalu didatangi malaikat dan ia merupakan keuntungan disebabkan malaikat itu membawa rahmat.

    Selain itu, seseorang yang beristiqamah tidak mudah merasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinan, kukuh pendirian dan besar harapannya kepada Allah dan mereka yang beristiqamah juga akan mendapat balasan syurga yang telah di janjikan oleh Allah.

    “Ingatlah dengan berlalunya bulan Ramadan, bukan bererti apa yang dilakukan di bulan Ramadan turut berakhir dan berhenti,” pesan khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda