Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Golongan yang memerlukan bantuan di negara ini terus diberikan perhatian serta tidak diabaikan di mana mereka juga diberikan peluang untuk sama-sama menikmati suasana berbuka puasa beramai-ramai dan menerima sumbangan bagi meringankan beban menjelangnya musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Atas dasar pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Kumpulan Hua Ho iaitu Hua Ho Department Store dan Hua Ho Agricultural Farm bekerjasama mengadakan Majlis Bersungkai dan Penyerahan Sumbangan di Dewan Digadong, KKBS, kelmarin.
Hadir dan turut menyertai majlis bersungkai ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Hajah Norhayana Janis binti Abdullah Lim.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Wahid serta pegawai-pegawai kanan KKBS dan JAPEM serta para jemputan dan keluarga yang menerima sumbangan daripada Hua Ho Department Store dan Hua Ho Agricultural Farm
Pada majlis itu, hadir bagi mewakili Hua Ho Department Store dan Hua Ho Agricultural Farm ialah Rakan Kongsi Urusan, Lau Hou Teck bersama Lau Soon Hau, Lau Soon Tiong, Lau Soon Lin dan Allen On.
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang diketuai oleh Pelatih Latihan Industri Pusat Bahagia, Awang Khairul Anuar bin Haji Abdul Ghaffar dan kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Tahlil dan Doa Selamat.
Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada seramai 300 orang yang terpilih di mana mereka menerima baucar wang tunai keseluruhan berjumlah $30,000 hasil sumbangan ikhlas daripada Hua Ho Department Store dan Hua Ho Agricultural Farm.
Sumbangan disampaikan bersama oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Lau Hou Teck di mana sumbangan dihasratkan untuk meringankan beban keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan.
Majlis itu merupakan majlis kerjasama antara KKBS bersama agensi-agensi bukan kerajaan yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara semua lapisan masyarakat serta keluarga mereka bersama pegawai dan tenaga kerja KKBS, syarikat-syarikat dermawan dan para jemputan yang hadir.
