Wednesday, May 7, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teruskan warisan kasut manik Baba

    GEORGE TOWN – Dua beradik Jocelyn Teh Pei Lin, 23, dan adik lelakinya, Joel Teh Min Chuen, 22, dari Pulau Pinang meneruskan warisan keluarga tinggalan mendiang neneknya dengan mempelajari seni halus penghasilan kasut manik buatan tangan yang begitu sinonim dengan masyarakat Baba Nyonya atau kaum Peranakan.

    Ketika media berkunjung ke butik Patricia Choo Collection di Jalan Rangoon di sini, Peiling dan Min Chuen, sedang asyik dan tekun menjahit tangan manik dan melakar hiasan dan corak bungaan untuk menghasilkan kasut manik.

    Menurut Min Chuen, mereka memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu untuk menghasilkan corak manik untuk sepasang kasut sebelum menghantarnya kepada tukang kasut untuk proses seterusnya.

    “Keseluruhan proses pembuatan sepasang kasut manik ini memakan masa lebih sebulan,” katanya kepada media dalam temu bual, baru-baru ini.

    Katanya, mereka dua beradik telah menjahit tangan corak manik kira-kira lima tahun lepas dan minat itu timbul ketika sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Jocelyn Teh Pei Lin, (kanan) dan adiknya Joel Teh Min Chuen, menunjukkan kasut manik yang dihasilkan oleh mereka di kedai keluarganya di Jalan Rangoon. – Bernama
    Pelbagai jenis kasut manik yang dihasilkan dua beradik Jocelyn Teh Pei Lin dan Joel Teh Min Chuen. – Bernama
    Jocelyn Teh Pei Lin, melakukan kerja-kerja menenun manik secara manual bagi menghasilkan kasut manik di kedai keluarganya. – Bernama

    Katanya, kemahiran menjahit tangan manik pada kasut dan selipar itu dipelajari daripada mendiang nenek mereka, Patricia Choo.

    “Kami yakin sesiapa sahaja boleh belajar membuat kasut manik ini dan akan berjaya namun, perlulah mempunyai penglihatan yang baik, kesabaran yang tinggi serta latihan yang mencukupi,” katanya.

    Menariknya, bermula sekadar hobi, kini penghasilan kasut manik ini sudah menjadi perniagaan buat keluarga Teh secara kecil-kecilan pada tahun 2014 dan nama perniagaan itu dinamakan sempena nama mendiang nenek mereka iaitu, Patricia Choo Collection.

    Harga kasut manik jahit tangan ini bergantung pada kesenian dan kerumitan reka bentuk corak dan penggunaan manik, yang boleh mencecah antara RM280 hingga lebih RM2,000.

    Ibu dua beradik itu, Angeli Choo, 52, berkata meskipun negara dilanda wabak COVID-19, namun kasut manik buatan tangan masih ada permintaan khususnya pelanggan dalam negara.

    “Sebelum COVID-19 melanda, kami ada pelanggan dari Singapura, Thailand dan Indonesia yang mengunjungi kedai kami dan membeli kasut manik,” katanya yang telah bersara daripada menjahit manik pada kasut kerana penglihatannya semakin kabur.

    Yang pasti, Choo tetap berbangga dengan hasil rekaan beliau pernah menjadi tersohor dan mengikuti fesyen, sejak 10 tahun lepas.

    Beliau juga berharap agar anak-anaknya dapat memperturunkan warisan seni halus menjahit tangan manik kasut itu kepada generasi seterusnya keluarga berkenaan.

    “Dengan mempelajari cara membuat kasut manik ini, ia bukan sahaja dapat mewarisi budaya yang unik ini, tetapi juga akan membantu membentuk ciri keperibadian yang tinggi,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda