Wednesday, July 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tesla buka bilik pameran pertama di India

    MUMBAI, 15 JULAI – Tesla telah merasmikan bilik pameran pertamanya di India hari ini dan ia menandakan kemasukan rasmi syarikat kenderaan elektrik (EV) milik Elon Musk ke negara paling ramai penduduk di dunia, ketika syarikat itu mencari pelanggan baharu di tengah kemerosotan jualan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

    Bilik pameran tersebut dibuka kepada para pengunjung terpilih selepas dirasmikan oleh Ketua Menteri Negeri Maharashtra, Devendra Fadnavis, di Mumbai, India.

    Tesla telah lama menunjukkan minat untuk memasuki pasaran India, tetapi tertangguh akibat cukai import EV yang tinggi di negara itu.

    Musk pernah menyifatkan India sebagai negara yang mempunyai ‘lebih banyak potensi berbanding mana-mana negara besar lain,’ namun turut mengkritik struktur cukainya, yang disifatkan sebagai antara ‘yang tertinggi di dunia.’

    New Delhi menawarkan pengurangan cukai import kepada pengeluar automotif global hanya jika mereka komited untuk melabur ratusan juta dolar dan membina kilang pengeluaran di India.

    Setakat ini, Tesla belum mengumumkan sebarang rancangan untuk membuka kilang di India.

    Model Y Tesla turut ditawarkan pada harga atas jalan sekitar AS$70,000 di India, menurut laman webnya – berbanding harga di AS sekitar AS$37,490 selepas kredit cukai persekutuan sebanyak AS$7,500.

    Kemunculan Tesla di India berlaku pada saat genting bagi syarikat itu, yang kini berdepan penurunan permintaan terhadap kereta-keretanya di seluruh dunia.  – AFP

    Gambar menunjukkan kereta Model Y Tesla di Bilik Pameran Tesla yang pertama di India yang baru dibuka di Mumbai pada 15 Julai. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda