NEW YORK, 4 OGOS – Sebuah juri di Florida pada Jumaat lalu mengarahkan syarikat Tesla membayar ratusan juta dolar kepada plaintif yang menyalahkan teknologi bantuan pemanduan autopilot syarikat itu atas satu kemalangan maut pada tahun 2019.
Juri mendapati sistem Tesla sebahagiannya bertanggungjawab dalam nahas di Key Largo yang meragut nyawa Naibel Benavides Leon dan mencederakan teman lelakinya, Dillon Angulo, menurut peguam Darren Jeffrey Rousso, rakan kongsi firma guaman yang mewakili Angulo dan keluarga Leon.
Plaintif mendakwa bahawa sistem Autopilot menjadi punca apabila kereta Tesla yang dipandu George McGee melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Chevrolet, mengakibatkan kematian Leon dan kecederaan kepada Angulo.
Menurut rekod mahkamah, juri menganugerahkan AS$200 juta dalam bentuk ganti rugi punitif, ditambah AS$59 juta dalam ganti rugi pampasan kepada keluarga Leon dan AS$70 juta kepada Angulo.
Memandangkan juri meletakkan satu pertiga kesalahan ke atas Tesla, jumlah ganti rugi pampasan akan dikurangkan, kata Rousso, menjadikan jumlah keseluruhan pampasan selepas pengurangan mencecah AS$242 juta.
“Keadilan telah ditegakkan,” kata Rousso. “Juri telah mendengar semua bukti dan mencapai keputusan yang adil serta saksama bagi pihak anak guam kami.” – AFP


