NEW YORK, 3 APRIL – Pengeluar kereta elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla menghantar jumlah catat rekod iaitu lebih satu juta kereta sepanjang tahun, angka yang diterbitkan kelmarin.
Syarikat tersebut menghantar 1.06 juta kereta sejak April 2021 hingga Mac 2022, termasuk lebih 310,000 buah kereta pada suku pertama tahun ini, yang mana 67 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Namun, angka tersebut kurang daripada jangkaan penganalisis iaitu sebanyak 317,000, menurut data yang dikumpulkan oleh FactSet.
Penghantaran dikira sama dengan jumlah jualan oleh pengeluar lain.
Pertumbuhan, walau bagaimanapun, menurun secara mendadak dalam beberapa bulan bagi syarikat yang berpangkalan di Austin, Texas, dengan penghantaran meningkat 0.4 peratus sejak suku keempat tahun lalu.

Jumlah kenderaan yang dihasilkan juga menurun sedikit berbanding suku sebelumnya (-0.1 peratus).
“Ini adalah suku yang sukar disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan dan dasar sifar COVID China,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menerusi Twitternya, merujuk kepada sekatan kesihatan yang ketat dilaksanakan China. “Usaha yang luar biasa oleh pasukan Tesla dan pembekal utama.”
Walau bagaimanapun, Tesla masih menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pesaingnya, dengan keseluruhan industri automobil terkesan oleh gangguan rantaian bekalan.
Toyota menyaksikan penjualannya di Amerika Utara menurun 23.5 peratus dari segi jumlah pada suku pertama 2022, berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan 26.3 peratus dari segi nilai.
General Motors meraih keuntungan AS$1.7 bilion untuk suku yang berakhir pada 31 Disember, turun 38.7 peratus dari tiga bulan terakhir 2020 ketika pendapatan menjunam 10.5 peratus kepada AS$33.6 bilion. – AFP