DETROIT, 15 JAN — Dengan jualan yang semakin perlahan dan harga saham yang semakin menjunam, syarikat Tesla baru-baru ini memotong harga beberapa varian kenderaan elektriknya, menjadikan beberapa model layak untuk menerima kredit cukai persekutuan yang mungkin mampu menarik minat pembeli.
Syarikat tersebut mengurangkan harga hampir 20 peratus di Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa varian SUV Model Y, yang merupakan model yang paling banyak terjual. Pemotongan harga tersebut akan menjadikan varian Model Y layak untuk menerima kredit cukai kereta elektrik sebanyak AS$7,500 yang akan ditawarkan sehingga bulan Mac. Tesla juga mengurangkan harga asas Model 3, yang merupakan model paling murah, sebanyak 6 peratus.
Jauh daripada menyenangkan para pelabur, potongan harga yang mendadak itu telah menyebabkan harga saham Tesla jatuh hampir 2 peratus semasa lewat petang Jumaat. Sejak permulaan tahun lalu, harga saham Tesla telah menjunam lebih daripada 65 peratus. Banyak pelabur risau jualan Tesla yang perlahan akan berterusan. – AP
