Wednesday, February 26, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tesla lancar teknologi pandu sendiri termaju di China

    SHANGHAI, 25 FEB – Syarikat gergasi kenderaan elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla, telah mula melancarkan teknologi pandu sendiri termaju untuk keretanya di China, termasuk autopilot di jalan-jalan bandar, kata syarikat itu hari ini.

    Pengumuman itu dibuat selepas usaha bertahun-tahun untuk mengatasi halangan kawal selia yang menghambat pengemaskinian dalam pasaran automobil terbesar di dunia.

    Tesla berkata dalam satu kenyataan di halaman WeChatnya hari ini ia akan melancarkan secara beransur-ansur kemas kini perisian yang termasuk pemanduan dibantu Autopilot automatik di jalan-jalan bandar, serta fungsi cermin pandang belakang yang mengesan sama ada pemandu memberi perhatian.

    Fungsi yang diterangkan adalah serupa dengan keupayaan Full Self-Driving yang ditawarkannya di AS.

    Kereta dengan keupayaan itu tidak berautonomi sepenuhnya, dan bertujuan untuk digunakan di bawah pengawasan pemandu.

    “Kemas kini telah dikeluarkan untuk beberapa model kereta, dan akan dilancarkan secara beransur-ansur pada model kereta lain yang sesuai,” kata Tesla.

    China adalah pasaran utama untuk Tesla, di mana syarikat itu mempunyai dua kilang dan cuba bersaing dengan pengeluar domestik yang berkembang pesat.

    Kenyataan hari ini telah dikeluarkan berikutan pengumuman oleh pembuat kereta China BYD – saingan terbesar Tesla di negara itu – bahawa ia akan memperkenalkan teknologi pandu sendiri termaju untuk hampir kesemua keretanya.

    Tesla telah berusaha untuk mendapatkan kelulusan untuk FSD di China, di mana ia perlu mematuhi undang-undang data dan privasi yang ketat. – AFP

    Gambar menunjukkan Tesla Model X di bilik pameran di daerah Changning Shanghai pada 25 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda