NEW YORK, 7 NOV – Pemegang saham Tesla kelmarin sebulat suara meluluskan pakej gaji besar untuk Ketua Pegawai Eksekutif, Elon Musk, yang boleh mencecah AS$1 trilion.
Pakej tersebut, dirangka bagi memastikan Musk terus berkhidmat dengan Tesla ketika syarikat itu mengejar teknologi termaju dalam kecerdasan buatan (AI) dan robotik, menerima lebih 75 peratus sokongan pemegang saham, menurut seorang pegawai Tesla pada mesyuarat tahunan syarikat tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih setulus hati kepada semua yang menyokong undian pemegang saham,” kata Musk yang kelihatan teruja. “Saya benar-benar menghargainya.”
Sorakan “Elon” bergema selepas keputusan undian diumumkan pada majlis yang berlangsung di kilang syarikat itu di Austin.
Musk kekal sebagai figura kontroversi, sebahagiannya kerana sokongannya terhadap ahli politik sayap kanan termasuk Presiden Donald Trump. Namun undian kelmarin menjadi bukti terbaru tentang pengaruh besar jutawan keusahawanan itu dalam kalangan para pelabur.
Pakej tersebut bertujuan memastikan Musk kekal di Tesla sekurang-kurangnya tujuh setengah tahun. Ia akan meningkatkan pegangan Musk dalam Tesla daripada kira-kira 12 peratus ketika pakej itu diperkenalkan pada September kepada lebih 25 peratus.
Musk sebelum ini menyifatkan potensi pertumbuhan Tesla sebagai hampir tanpa batas, dan berkata pada Julai lalu bahawa syarikat itu “akan menjadi syarikat paling bernilai di dunia” jika berjaya mencapai kemajuan sasaran dalam pemanduan autonomi dan AI. – AFP

