Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tesla naikkan harga model Y

    DETROIT, 5 FEB – Tesla telah menaikkan harga Model Y di AS, disebabkan oleh peningkatan permintaan dan perubahan dalam peraturan kerajaan AS yang menjadikan lebih banyak versi SUV kecil itu layak untuk dikenakan kredit cukai.

    Syarikat kenderaan elektrik Austin, Texas, menaikkan harga versi Model Y Long Range kira-kira 2 peratus kepada AS$54,990 dan versi Performance sebanyak 2.7 peratus kepada AS$57,990, menurut laman webnya. Harga tidak termasuk penghantaran dan yuran pesanan.

    Langkah itu, dibuat baru-baru ini, muncul tiga minggu selepas Tesla mengurangkan harga hampir 20 peratus beberapa versi Model Y, kenderaan terlaris syarikat itu.

    Pemotongan harga dibuat untuk meningkatkan permintaan yang merosot, dan juga untuk menjadikan lebih banyak versi Model Y layak untuk mendapatkan kredit cukai kenderaan elektrik AS$7,500 dalam Akta Pengurangan Inflasi. Kredit cukai penuh akan tersedia sekurang-kurangnya pada bulan Mac.

    Pada Jumaat, Jabatan Perbendaharaan telah menyemak semula definisi klasifikasi kenderaan untuk menjadikan lebih banyak EV termasuk SUV yang dibuat oleh Tesla, Ford dan General Motors yang layak mendapat AS$7,500 penuh.

    Perubahan itu berlaku selepas dilobi oleh pembuat kereta yang telah menekan pentadbiran Biden untuk menukar definisi kenderaan bagi membolehkan kenderaan berharga lebih tinggi layak mendapat kredit maksimum.

    Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk bertemu dengan pembantu utama Presiden Joe Biden minggu lepas untuk membincangkan mengenai industri EV dan matlamat elektrifikasi yang lebih luas.

    Di bawah undang-undang menyeluruh yang diluluskan pada musim panas lalu, trak pikap, SUV dan van dengan harga pelekat sehingga AS$80,000 layak mendapat kredit cukai EV, manakala kereta elektrik baharu, sedan dan gerabak hanya boleh mencapai harga sehingga AS$55,000.

    Peraturan itu telah membatalkan kelayakan beberapa SUV berharga tinggi, seperti Cadillac Lyriq GM dan beberapa versi Model Y, yang menyebabkan aduan daripada Tesla dan pembuat kereta lain. – AP

    Tesla Model Y Long Range dipaparkan pada 24 Februari 2021, di Galeri Tesla di Troy, Mich. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda