WASHINGTON, 1 April – Pengeluar kereta elektrik, Tesla mengesahkan ciri-ciri ‘pandu sendiri’ telah digunakan ketika kemalangan maut minggu lalu, satu perkembangan yang menambah lagi kebimbangan tentang keselamatan kenderaan futuristik.
Sistem pandu sendiri masih jauh daripada sistem pemanduan berautonomi sepenuhnya, yang tidak akan memerlukan penglibatan manusia.
Pandu sendiri dianggap sebahagian daripada peringkat kedua dari lima peringkat pemanduan berautonomi, dengan yang kelima sepenuhnya berautonomi – sesuatu yang pernah ditonjolkan dalam kartun-kartun futuristik yang kemudian perlahan-lahan mengorak langkah lebih dekat ke reality.
Tesla Model X – model terbaru – bertembung dengan perintang lebuh raya dekat bandar Mountain View di California pada 23 Mac lalu, kemudian terbakar sebelum dua buah lagi kereta merempuhnya.
Pemandunya yang dikenal pasti oleh The Mercury News sebagai lelaki berusia 38 tahun, Wei Huang, seorang jurutera Apple. Dia kemudian meninggal dunia di hospital.

Tesla telah menyatakan dalam blog lewat Jumaat lalu mengatakan bahawa pemandu itu telah mengaktifkan pandu sendiri tetapi tidak mengendahkan beberapa amaran.
“Tidak lama sebelum berlaku perlanggaran, pandu sendiri telah digunakan dengan kawalan perjalanan mudah suai ikut jarak ditetapkan pada minimum,” menurut Tesla.
“Pemandu telah menerima beberapa visual dan satu amaran hands-on sebelumnya dalam pemanduan dan tangan pemandu tidak dikesan pada stering selama enam saat sebelum perlanggaran.
“Pemandu mempunyai masa kira-kira lima saat dan 150 meter daripada pemandangan pembahagi konkrit dengan atenuator kemalangan, namun rekod kenderaan tidak menunjukkan tindakan telah diambil.”
Tesla menambah, sebab kereta mengalami kerosakan teruk adalah kerana pembahagi jalan ‘telah pernah dirempuh sebelumnya dan tidak pernah diganti’.
“Kami tidak pernah melihat tahap kerosakan sebegini pada Model X dalam mana-mana kemalangan lain,” ujarnya. – AFP