Saturday, February 8, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tesla selesaikan kes diskriminasi

    SAN FRANCISCO, 17 MAC – Tesla dan seorang lelaki kulit hitam yang bekerja di kilang California syarikat itu telah menyelesaikan kes diskriminasi yang telah lama berlaku di mana ia telah menarik perhatian mengenai layanan pembuat kenderaan elektrik itu terhadap golongan minoriti.

    Owen Diaz, yang diberikan hampir AS$3.2 juta oleh juri persekutuan April lalu, mencapai ‘perjanjian penyelesaian muktamad terhadap semua tuntutannya,’ menurut dokumen yang difailkan Jumaat lalu dengan Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) di San Francisco.

    Dokumen itu, yang tidak memberikan butiran perjanjian itu, berkata kedua-dua pihak bersetuju perkara itu telah diselesaikan dan kes terhadap syarikat yang dikendalikan oleh Elon Musk boleh ditolak.

    Mesej telah ditinggalkan kelmarin untuk mendapatkan butiran daripada peguam Tesla dan dari peguam Diaz, Lawrence Organ.

    Keputusan April adalah keputusan kedua yang dicapai dalam kes Diaz yang mahu Tesla bertanggungjawab terhadap isu perkauman dan penderaan lain semasa tempoh singkatnya di kilang Fremont, California, yang dikendalikan oleh pembuat kereta perintis itu.

    Tetapi lapan orang juri dalam perbicaraan terbaharu, yang berlangsung lima hari itu telah bersetuju terhadap jumlah ganti rugi yang jauh lebih rendah daripada AS$137 juta yang dimenangi Diaz dalam perbicaraan pertamanya pada 2021. Hakim Daerah AS, William Orrick, mengurangkan bayaran itu kepada AS$15 juta, mendorong Diaz dan peguamnya untuk mendapatkan perbicaraan baharu daripada menerima jumlah yang lebih rendah.

    Pada bulan November, Organ memfailkan notis bahawa Diaz akan merayu keputusan AS$3.2 juta, dan Tesla memfailkan notis rayuan balas. – AP

    Pekerja berjalan melepasi loji kereta elektrik Tesla di Gruenheide dekat Berlin, timur Jerman, pada 13 Mac. Tesla dan Diaz telah berjaya menyelesaikan kes diskriminasi yang telah lama berlaku dengan bayaran rayuan sebanyak AS$3.2 juta. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda