Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tesla tarik balik 1.6 juta kenderaan di China

    BEIJING, 5 JAN – Tesla sedang menarik balik lebih 1.6 juta kenderaan elektrik di China, kata pengawal selia pasaran negara itu hari ini, menandakan satu lagi pukulan buat firma Amerika Syarikat (AS) beberapa hari selepas ia mengatasi jualan EV oleh BYD, China.

    Penarikan balik itu yang dicetuskan oleh penemuan masalah dengan fungsi bantuan pemanduan dan sistem pengunci pintu akan dilakukan melalui kemas kini jauh atas talian (OTA) jarak jauh ke perisian kenderaan itu.

    China merupakan komponen penting dalam susunan global Tesla, sebagai pasaran pengguna yang besar dan tuan rumah kilang pembuatan utama di Shanghai.

    “Mulai sekarang, sebanyak 1,610,105 import Model S, Model X dan Model 3 serta model domestik 3 dan Model Y dengan tarikh pengeluaran antara 26 Ogos 2014 dan 20 Disember 2023 akan ditarik balik,” kata Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran (SAMR) dalam satu kenyataan dalam talian.

    “Bagi kenderaan dalam skop panggilan balik ini, apabila fungsi stereng bantuan pemanduan automatik dihidupkan, pemandu mungkin menyalahgunakan fungsi bantuan pemanduan gabungan tahap dua, meningkatkan risiko perlanggaran kenderaan dan menimbulkan bahaya keselamatan,” kata SAMR.

    Penarikan balik itu juga termasuk 7,538 model Tesla import yang dibuat antara 26 Oktober 2022 dan 16 November 2023, yang didapati mempunyai “masalah dengan kawalan logik buka kunci pintu”.

    Pada 2022, firma itu menarik balik hampir 128,000 kereta di China disebabkan kecacatan inverter motor belakang.

    Bulan lepas, Tesla telah memulakan penarikan balik lebih dua juta kenderaan di AS dan Kanada disebabkan risiko yang berkaitan dengan perisian autopilot. – AFP

    Orang ramai menyaksikan kenderaan elektrik Tesla Model 3 semasa Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China (CISCE) di Beijing pada 1 Disember 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda