WASHINGTON, 21 MAC – Tesla mengumumkan penarikan balik sebahagian besar model Cybertruck berikutan masalah trim luaran yang longgar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) kelmarin.
Komponen logam lebar di sekitar cermin depan dan bahagian atas pintu itu dipasang menggunakan pelekat, namun berisiko tertanggal.
Setakat ini, 151 pemilik Cybertruck mengemukakan tuntutan waranti, menurut dokumen Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Kebangsaan AS (NHTSA).
“Panel yang tertanggal boleh menjadi bahaya di jalan raya dan meningkatkan risiko kemalangan,” menurut amaran NHTSA.
Bagaimanapun, Tesla memaklumkan bahawa mereka belum menerima sebarang laporan kemalangan atau kecederaan akibat kecacatan itu.
Memandangkan hampir semua Cybertruck berpotensi terjejas, penarikan balik itu juga mendedahkan angka pengeluaran, dengan Tesla menghasilkan hampir 46,100 unit Cybertruck dari November 2023 hingga Februari 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk sebelum ini menyasarkan pengeluaran sehingga 250,000 unit Cybertruck setahun pada masa hadapan.
Sebagai langkah pembaikan, Tesla akan menggunakan skru untuk mengukuhkan trim yang merupakan kaedah yang turut digunakan selepas insiden penutup hiasan pedal yang tertanggal dan berisiko menyebabkan pedal senget.
Ini penarikan semula yang kelapan untuk model Cybertruck. Beberapa isu terdahulu, seperti kelewatan paparan kamera pandang belakang telah diperbaiki melalui perisian yang dikemas kini.
Cybertruck merupakan usaha Tesla untuk menembusi pasaran trak pikap bersaiz besar di Amerika Syarikat, yang secara tradisional didominasi oleh kenderaan berkuasa petrol. – Bernama/dpa
