Minggu lalu, saya menerima kunjungan seorang rakan lama bersama keluarganya.
Kunjungan itu sepatutnya menjadi kesempatan untuk mengeratkan silaturahim, namun terus terang, saya agak terganggu dengan tingkah laku anak-anaknya.
Sejurus melangkah masuk, mereka berlari ke sana-sini, menyentuh barang perhiasan, membuka peti ais tanpa izin dan menekan alat kawalan jauh televisyen tanpa bertanya.
Sebagai tuan rumah, saya cuba bersabar dan berlapang dada. Namun, dalam hati, saya tertanya-tanya ke manakah hilangnya ajaran asas tentang adab bertamu yang dahulu begitu ditekankan oleh ibu bapa kita?
Dahulu, anak-anak diajar bahawa bila berkunjung ke rumah orang, mereka mesti memberi salam, duduk dengan tertib, tidak mengusik barang yang bukan milik sendiri dan bercakap hanya bila perlu.

Kini, seolah-olah nilai itu semakin luntur. Lebih mengecewakan, ada ibu bapa yang membiarkan sahaja tingkah laku anak-anak tanpa sedikit pun menegur.
Saya bukan mahu kedekut layanan atau terlalu mengharapkan kesempurnaan, tetapi sebagai tetamu, terutama anak-anak, wajar diajar menghormati ruang dan hak tuan rumah.
Rumah orang bukan taman permainan. Apa lagi bila kita tahu tuan rumah mungkin ada barang berharga, haiwan peliharaan atau ruang yang tidak sesuai untuk diterokai anak kecil tanpa pengawasan.
Hormat-menghormati dalam budaya bertamu bukan soal kecil. Ia cerminan didikan dan budi pekerti. Jika anak-anak dibiasakan dengan sikap hormat sejak kecil, mereka akan membesar menjadi insan yang tahu batas dan menghargai orang lain. Sebaliknya, jika mereka dibiarkan bebas tanpa panduan, lama-kelamaan mereka tidak akan tahu membezakan adab di rumah sendiri dan di rumah orang lain.
Saya mengingatkan semua ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka tentang tingkah laku baik yang semakin pudar.
Anak-anak belajar daripada apa yang mereka lihat, jadi persekitaran positif dan contoh baik, penting untuk membentuk peribadi mereka.
Tuan Rumah
