Sunday, December 1, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tetamu tak diundang

    Oleh Nazrin HJ –

    Menjelangnya bulan Syawal, semua umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia.

    Pada hari lebaran itu juga mengingatkan aku kembali tentang peristiwa yang pernah berlaku padaku lima tahun yang lalu yang tidak dapat aku lupakan hingga hari ini.

    Pada malam itu, hujan turun dengan lebat mencurah-curah. Petir berdentuman dan kilat sabung-menyabung. Jam pada ketika itu sudah menunjukkan pukul 11:30 malam. Tiba-tiba aku mendengar pintu rumah diketuk orang.

    “Siapa? Inda patut bisdurang mama, bapa yang balik pasal masa durang jalan tadi, bapa ada bepasan yang durang kan bermalam di rumah nenek di Tutong,” bisik hati kecilku.

    Sebenarnya, ayahku menyuruh aku ikut bersama mereka tapi aku enggan turut kerana rakan-rakanku sudah berjanji untuk datang ke rumah. Jadi tinggallah aku seorang saja di rumah. Aku mula bimbang memandangkan aku cuma bersendirian di rumah tambahan lagi daun pintu diketuk semakin kuat. Aku memberanikan diri menuju ke ruang tamu lalu menghampiri pintu.

    Gambar Freepik

    “Siapa tu?” tanyaku dengan suara yang kuat sedikit tapi tiada sahutan. Hatiku tertanya-tanya, siapakah gerangan yang mengetuk pintu rumah hampir tengah malam ini.

    “Barangkali bisdurang mama, bapa dan adik-adikku atau kawan-kawanku yang mengacau. Tapi mustahil jua ah,” kataku sendirian.

    “Hairan!” Aku semakin bingung.

    Sebaik saja aku berkata, tidak kedengaran lagi bunyi daun pintu diketuk. Aku kembali duduk di sofa. Mataku melirik ke arah pintu dan cermin jendela. Sesekali kelihatan cahaya kilauan kilat memancar diiringi bunyi petir. Hujan masih lebat lagi. Aku tersentak dan jantungku berdegup dengan kuat dan cepat. 

    “Manusia atau hantukah yang berada di luar ani? Jangan-jangan hantu raya kali. Astaghfirullah! Cabul banar mulutku ani,” aku bercakap sendirian.

    Dalam masa aku bermonolog itu, tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi cermin pecah akibat dilontar dengan sesuatu. Kelihatan benda itu seperti seketul tanah liat yang keras.

    Hatiku menyumpah-nyumpah orang yang membaling itu. Pada ketika itu juga aku mula terfikir adakah orang yang berada di luar itu sengaja mahu menakut-nakutkan aku atau mungkin mempunyai motif lain seperti ingin mencuri atau sebagainya. Lebih malang lagi di rumahku pada masa itu tidak ada bekalan telefon untuk memudahkan aku meminta pertolongan. Hendak keluar dari rumah, tak sanggup rasanya mengenangkan ada tetamu tak diundang di luar sana.

    Perasaan serba salah mula menghantui diriku. Rasanya, aku mahu berteriak sekuat-kuat hatiku agar beroleh pertolongan. Tapi aku tahu bahawa dengan berbuat demikian adalah sia-sia saja kerana dalam hujan begitu lebat, menjerit sehingga keluar anak tekak sekalipun, orang tidak akan dapat mendengar.

    Tambahan lagi, rumahku agak terpencil dan berhampiran dengan tanah perkuburan. Sudah tentu pada waktu-waktu seperti ini, tidak ada orang yang berani melalui kawasan rumahku.

    Mahu tak mahu, aku terpaksa juga mengurungkan diri di dalam rumah saja sementara menunggu matahari terbit.

    Jam di dinding berdenting sekali menandakan sudah pukul 1 pagi. Kelihatan hujan masih mencurah-curah. Aku tidak dapat melelapkan mataku kerana takut berlaku sesuatu yang buruk akan terjadi jikalau aku tertidur.

    Bunyi ketukan pintu sudah tidak kedengaran lagi. Aku bangun lalu memberanikan diri menuju ke jendela. Alangkah terkejutnya aku apabila kelihatan jari-jari yang separuh sudah menjadi rangka bercampur lumpur terjulur dari lubang cermin jendela yang pecah tadi. Lebih menyeramkan lagi, dari kilauan kilat yang memancar di jendela kelihatan di luar itu satu lembaga mundar-mandir. Aku cuba berteriak tapi suaraku seperti tersekat tidak mahu keluar.

    “Apa yang patut aku buat? Apa akan terjadi sekiranya lembaga atu masuk ke dalam rumahku?” Persoalan-persoalan ini membuatkan aku lebih takut lagi dan cemas.

    Ternyata dengan berkurung di dalam rumah ini, keselamatan diriku masih tidak terjamin.

    Dalam hati aku memohon perlindungan dari Allah saja memandangkan tiada insan lain yang dapat kuharapkan bantuan dan perlindungan di dalam keadaan demikian. Kemudian, pintu depan kembali diketuk bertalu-talu. Semakin lama bunyi ketukan itu semakin kuat bunyinya seperti hendak pecah.

    Aku bimbang pintu rumah dipecahkan lalu aku segera berlari ke bilik tidurku. Aku kemudiannya mengunci pintu bilik. Aku mengambil selimut lalu membungkus diriku. Peluh dingin mula membasahi mukaku. Dengan teliti telingaku mengawasi bunyi-bunyi yang kedengaran dari luar bilik. Tiba-tiba, kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan hampir dengan pintu bilikku.

    “Ah! Lembaga atu kan masuk ke bilikku,” aku menggigil ketakutan.

    Pintu bilikku diketuk berulang-ulang. Rupa-rupanya, pada ketika itu lampu bilikku masih terpasang. Jadi, sewaktu aku membuka kain selimut, bilikku kelihatan terang-benderang membuatkan suhu ketakutanku sedikit menurun. Tapi hatiku berdebar kembali apabila kelihatan air bercampur dengan lumpur mula membasahi bilikku melalui bawah pintu.

    “Sudah pasti lembaga atu ada depan pintu bilikku. Ya Allah! Tabahkanlah hati hamba-Mu ini,” pohonku di dalam hati.

    Beberapa minit kemudian, aku dikejutkan lagi apabila sesuatu yang ganjil berlaku benar-benar di hadapan mata kepalaku sendiri sama seperti yang berlaku dalam drama bersiri X-Files. Buku-buku sekolahku berterbangan lalu jatuh ke lantai. Almari solekku bergegar dan kemudiannya cerminnya pecah. Pintu almariku terbuka-tertutup seperti sedang bermain-main. Aku yakin bahawa lembaga itu sudah berada dalam bilikku.

    Aku kemudiannya melompat dari katil lalu membuka pintu bilik. Saluran darahku seperti sudah berhenti apabila di hadapanku tercegat sesusuk tubuh yang dibaluti dengan kain kafan yang sudah reput dan dikotori lumpur.

    Wajahnya yang menakutkan tidak terucapkan lagi. Kulitnya reput, mulutnya berulat, matanya terjempol keluar dan kelihatan darah masih pekat mengalir dari matanya. Baunya busuk dan meloyakan. Tangan lembaga yang separuh rangka itu cuba untuk memegangku. Pada ketika itu, aku menjerit sekuat-kuat hatiku…

    Sentuhan tangan yang kurasai membuatkan aku semakin kuat menjerit. Terasa mukaku sejuk dibasahi air. Apabila ku buka mataku, kelihatan ibu, ayah dan adik-adikku berada di sampingku yang sedang terbaring di atas sofa. Aku terpinga-pinga kehairanan.

    “Kau mengigau As!,” kata ibuku sambil tersenyum.

    Aku lalu menceritakan peristiwa yang berlaku kepadaku semalam. Aku lalu menunjukkan cermin jendela yang pecah tetapi cermin tersebut seperti biasa saja.

    “Mimpi kali aku ni,” bisik hatiku.

    “latah tu. Kau atu terlampau banyak membaca buku-buku misteri. Ani tah jadinya,” kata ayahku sementara adik-adikku tersenyum sinis mungkin memperliku kerana sering menakut-nakutkan mereka dengan cerita-cerita hantu yang ku baca. 

    Ayahku kemudiannya menyuruhku pergi mandi kerana kami hendak pergi beraya mengunjungi sanak-saudara yang lain.

    Dalam langkahku menuju ke bilikku, aku terlihat sesuatu. Aku lalu mengambilnya dan ia adalah seketul tanah liat yang keras. Aku kemudiannya pergi ke bilikku. Alangkah terkejutnya aku apabila aku melihat bilikku berselerak seperti ‘kapal pecah’ dan kelihatan sedikit tikar lantai bilikku masih basah dan ada bekas kotoran tanah.

    Hatiku tertanya-tanya adakah peristiwa yang berlaku semalam benar-benar terjadi atau sebaliknya. Hendak ku ceritakan kepada keluargaku, takut nanti jadi bahan ketawa mereka. Jadi, terpaksalah ku pendamkan saja kisah misteri yang terjadi kepadaku. Aku bersyukur kepadaNya bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas diriku.

    Sejak peristiwa itu, aku tidak berani lagi tinggal bersendirian di rumah. Setiap kali keluargaku keluar rumah, setiap kali itu juga aku pasti mengikut mereka melainkan aku ditemani oleh adik-adik.

    Sehingga sekarang aku masih tertanya-tanya mengenai kehadiran lembaga itu. Peristiwa itu menjadi pengalaman misteri bagiku hingga ke hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda