Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tetap dikenali walaupun pakai niqab

    PENANGAN watak Tiara dalam drama Pujaan Hati Kanda, Mira Filzah tak menang tangan melayan peminat yang mengenali dirinya biarpun berniqab ketika mengerjakan ibadat umrah, baru-baru ini.

    Menceritakan pengalaman di Mekah, Mira, 26, tidak menyangka lakonannya dalam drama yang turut menampilkan Remy Ishak itu cukup meninggalkan kesan hingga disapa peminat dengan panggilan Tiara.

    “Saya memakai niqab dengan harapan tidak ada orang yang kenal saya. Ini kerana saya mahu memberi fokus dan beribadat sepenuhnya. Terasa lucu apabila sedang mengaji, ada orang tepuk bahu dan panggil saya ‘Tiara’. Dalam satu insiden lain, ketika saya sedang berusaha mencium Hajarul Aswad, ada peminat merakam aksi saya itu dan memuat naik di Twitter,” katanya kepada media.

    Mira atau nama penuhnya, Nur Amirah Filzah Badiozaman pulang ke tanah air baru-baru ini, selepas menunaikan ibadat umrah selama dua minggu bersama keluarga. Mengenai pengalaman berlakon dengan Remy, Mira berkata, pertama kali mereka digandingkan dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan.

    “Secara kebetulan, kami berlakon bersama dalam dua drama termasuk Pujaan Hati Kanda yang turut mendapat maklum balas baik. Kebanyakan peminat dua drama terbabit adalah sama. Saya lihat drama Lelaki Kiriman Tuhan lebih kepada penonton yang sudah berusia dan matang. Ini mungkin kerana penceritaannya yang agak berat,” katanya.

    Diusik pertanyaan ada peminat mahu hubungan yang dilakonkan dengan Remy dibawa ke alam realiti, Mira menganggap andai itu yang dimahukan, bermakna aksi mereka berkesan. “Kalau peminat mahu lihat kami bersama secara realiti, saya anggap lakonan kami berjaya menyentuh hati penonton. Bekerjasama dengan Remy adalah suatu pengalaman yang baik. Ini kerana dia banyak membantu saya. Ini membuatkan kerja lakonan kami jadi mudah dan cepat,” katanya.

    Selain Mira dan Remy, Lelaki Kiriman Tuhan arahan Rashid Sibir dibintangi Rozita Che Wan, Talha Harith, Kartina Aziz, Harris Anuar, Riana AF dan Uyaina Arshad. Baru-baru ini, Mira hadir pada majlis bertemu peminat drama berkenaan di sebuah pusat beli-belah. – Agensi

    Mira atau nama penuhnya, Nur Amirah Filzah Badiozaman pulang ke tanah air baru-baru ini, selepas menunaikan ibadat umrah selama dua minggu bersama keluarga. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda