HUNT, TEXAS, 7 JULAI – Ketika Sungai Guadalupe melimpah dengan deras dan memusnahkan kawasan tengah Texas, seorang wanita muda bernama Joyce Bandon sempat menghantar satu mesej teks yang mungkin menjadi mesej terakhirnya.
Mesej berkenaan telah mencetuskan gerakan pencarian kecemasan, apabila Bandon sempat meminta bantuan dari sebuah rumah berhampiran sungai, menurut ketua sukarelawan, Louis Deppe, yang terlibat membantu keluarga Bandon dalam usaha mencari anak perempuan mereka.
Hujan lebat yang bermula malam sebelum sambutan Hari Kemerdekaan telah mengakibatkan paras sungai naik setinggi bangunan dua tingkat dalam masa kurang sejam serta membanjiri kawasan Kerr County termasuk beberapa kem musim panas kanak-kanak, menumbangkan pokok dan menghanyutkan kereta seperti mainan.
Sehingga petang kelmarin, kira-kira 78 mangsa disahkan maut dan angka korban dijangka akan meningkat.
“Salah satu mayat ditemui pada ketinggian antara lapan hingga sepuluh kaki di atas pokok, tersepit dalam timbunan serpihan. Tiada siapa yang menyedarinya jika bukan kerana lebih ramai mata yang memerhati,” kata Deppe kepada AFP.
Paras sungai kini kembali normal tetapi kerosakan sangat teruk di sepanjang tebing, seekor lembu mati tergantung di pokok, kepalanya tersepit antara dua cabang dahan.
Sukarelawan yang mencari Bandon telah menemui beberapa mayat, iaitu dua mangsa pada awal pagi Sabtu dan satu mangsa lagi tersepit dalam serpihan di atas pokok.
“Dan mereka maklumkan kepada saya, dia adalah salah seorang gadis dari Camp Mystic yang hilang,” kata seorang anggota pasukan pencarian, Justin Morales, 36. – AFP
