KUALA NERUS, 3 OGOS – Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner enggan mengambil mudah tentangan yang bakal diterima daripada Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) pada aksi pusingan 16, saingan Piala Malaysia di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, malam esok.
Beliau berkata walaupun KL Rovers merupakan pasukan divisyen tiga, ia bukan alasan untuk skuad Penyu berasa selesa dan membuat persiapan secara sambil lewa.
Beliau berkata TFC bukan sahaja memerlukan kemenangan untuk melangkah ke pusingan Piala Malaysia yang seterusnya, tetapi sebagai suntikan moral pasukan untuk perlawanan timbal balik dan Liga Super seterusnya.
“Kami rasa kami pasukan pilihan dalam perlawanan ini… tetapi kami perlu buktikannya.
“Tentu sekali kami jangka dapat layak ke pusingan seterusnya. Jadi saya harap semua dapat bermain dengan baik… berikan sumbangan dan pastikan kemenangan kami,” katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, Steinbrucker juga memberi bayangan akan menurunkan pemain muda dari skuad ‘adik’, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, dalam perlawanan itu nanti.
Ia memandangkan pemain pertahanan TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni, telah menerima tiga layangan kad kuning pada perlawanan sebelum ini.
“Pemain lain seperti Adisak (Adisak Kraisorn) dan Omid (Omid Nazari), tidak bersedia kerana kecederaan. Tetapi Azam Azmi telah pun kembali bersama pasukan,” katanya.
Sementara itu ketua pasukan, Habib Haroon, menyeru rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah keupayaan skuad bimbingan Wan Mustafa Wan Ismail itu. – Bernama