KUALA NERUS, 13 DIS – Terengganu FC (TFC) menyambung kontrak tiga bintang mudanya bagi memperkuat kan jentera skuad itu musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata kontrak Safwan Mazlan, Muhammad Syahmi Zamri dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, yang merupakan pemain kebangsaan bawah 23 tahun (U23), disambung sehingga 2026.
Beliau berkata ketiga-tiga mereka dipilih oleh ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner untuk dikekalkan atas faktor kualiti dan prospek penting TFC dalam pelan mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
“Tiga pemain muda yang semakin bersinar di persada bola sepak negara ini juga memilih untuk terus kekal dengan TFC sehingga 2026.
“Ketua jurulatih skuad Penyu juga berpuas hati dengan prestasi pemain berkenaan yang dilihat berpotensi untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook rasmi TFC hari ini. – Bernama