Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    TFC tempang hadapi JDT

    KUALA NERUS, 31 JAN – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali, mengakui persiapan pasukan sedikit terjejas apabila tiga tonggak utama tidak dapat beraksi pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.

    Pengendali berusia 49 tahun itu berkata ia termasuk penyerang import kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade; Muhammad Akram Mahinan; dan penjaga gol, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

    Badrul Afzan berkata Akinade dan Rahadiazli terpaksa direhatkan akibat kecederaan ketika perlawanan Liga Super baru-baru ini manakala Muhammad Akram pula menerima dua layangan kad kuning.

    “Saya akui sudah pasti sedikit sebanyak ia menjejaskan persiapan terutama di posisi penjaga gol kerana sebelum ini kita telah kehilangan penjaga gol utama, Suhaimi Hussin, yang berehat panjang akibat kecederaan.

    “Untuk perlawanan penting ini kami hanya tinggal Syed (Syed Nasrulhaq Syed Bidin) daripada skuad utama dan terpaksa menggunakan khidmat penjaga gol Terengganu FC ll, Mohd Faris Rifqi Abdul Rashid, untuk mengisi kekosongan di posisi itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluang skuad Penyu untuk beraksi di pentas akhir Piala Malaysia musim ini, Badrul Afzan yang juga bekas pemain tengah Terengganu mengakui harapan anak buahnya agak tipis setelah kalah 0-4 di tangan JDT pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 17 Januari lepas.

    Bagaimanapun, beliau berkata ia bukan alasan untuk pasukannya bermain sambil lewa dan memberi kemenangan mudah kepada  skuad gergasi Harimau Selatan. – Bernama

    Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni (kiri) diasak oleh Romel Oswaldo Morales Ramirez pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 25 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda