KUALA NERUS, 2 OKT – Terengganu FC (TFC) perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dalam misi wajib menang bertemu Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam esok.
Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, pemain perlu bangkit daripada kekalahan tipis kepada Kuala Lumpur City (KL City) minggu lepas, bagi mengutip tiga mata penuh untuk terus kekal dalam kelompok tiga tangga teratas Liga Super.
Pengendali berusia 49 tahun itu bagaimanapun mengingatkan pemain agar sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah cabaran Kelantan TRW yang ketika ini hanya ketinggalan dua mata berbanding Skuad Penyu.
“Kami hilang tiga mata setelah tewas tipis 1-2 kepada KL City tempoh hari. Jadi, perlawanan kali ini kami wajib menang jika mahu kekal dalam kelompok tiga teratas liga.
“Saya akui masalah di posisi penyudah masih menghantui pasukan walaupun kami sudah melalui lima perlawanan. Saya harap perlawanan kali ini pemain lebih fokus, berdisiplin dan tidak membuat kesilapan mudah yang boleh membawa padah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Afzan berkata, pemain import terbaharu dari Myanmar, Kyaw Min Oo yang dijangka akan membuat penampilan pertamanya bersama TFC pada perlawanan ‘musuh tradisi’ Pantai Timur kali ini.
Beliau berkata, Min Oo yang beraksi di posisi tengah telah beberapa hari menjalani latihan bersama rakan sepasukan dan kehadirannya diharap mampu memberi impak positif kepada pasukan.
“Setakat ini, pemain lain berada dalam keadaan baik kecuali Muhammad Akhyar Rashid yang telah mengalami kecederaan pada buku lalinya.
“Kecederaannya agak teruk, mungkin Akhyar akan terlepas dua atau tiga perlawanan,” katanya. – Bernama


