SEPANG, 12 Jun – Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat persediaan rapi terutama dari aspek penginapan bagi menyambut ketibaan seramai 30,200 jemaah yang akan menunaikan ibadat haji bermula Julai ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata aspek penginapan perlu ditambah baik dan diberi keutamaan selepas Malaysia memperoleh kebenaran menambah 7,880 jemaah daripada kuota 22,320 orang yang biasa diberikan kerajaan Arab Saudi sebelum ini.
Untuk itu, TH telah menyediakan sebanyak 23 tempat penginapan di Makkah dan 11 penginapan di Madinah, yang mana kedua-dua lokasi berada dalam jarak 950 meter ‘dari Masjidil Haram dan 330 meter dari Masjid Nabawi, katanya pada sidang media mengenai lawatan kerja bagi meninjau persiapan TH sejurus tiba dari Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini. – Bernama