BANGKOK, 17 JUN – Thai Airways telah mendapat kelulusan mahkamah untuk keluar daripada pelan pemulihan kebankrapan yang dilancarkan selepas syarikat penerbangan itu bergelut menyelamatkan diri daripada kejatuhan sektor pelancongan akibat sekatan perjalanan pandemik COVID-19.
Syarikat penerbangan kebangsaan Thailand, yang juga anggota Star Alliance, mengalami krisis besar apabila perjalanan global terhenti sepenuhnya, memaksa ia melakukan pemecatan besar-besaran dan memohon bantuan kecemasan kerajaan.
Thai Airways memasuki fasa penstrukturan semula di bawah pengawasan mahkamah pada tahun 2020 bagi menyelesaikan hutang sebanyak 400 bilion baht (AS$12.3 bilion) dan memaklumkan bahawa ia telah mula mencatatkan pendapatan stabil sejak 2023.
Kelmarin, Mahkamah Kebankrapan Pusat meluluskan permohonan Thai Airways untuk keluar daripada program tersebut.

“Thai Airways telah berjaya memulihkan perniagaannya melalui penstrukturan organisasi, peluasan laluan penerbangan dan peningkatan armada,” menurut kenyataan rasmi syarikat itu.
Syarikat itu juga merancang untuk kembali disenaraikan di Bursa Saham Thailand pada awal Ogos, selepas digugurkan pada tahun 2021 susulan isu kewangan dan pemegang saham.
Kementerian Kewangan Thailand kekal sebagai pemegang saham terbesar, dengan pegangan hampir 40 peratus.
Mahkamah turut memerintahkan syarikat tersebut untuk membayar balik sekitar 190 bilion baht kepada pemiutang dalam tempoh 10 tahun, di mana 94 bilion baht telah pun dijelaskan setakat ini.
Thai Airways sebelum ini sering dikritik kerana salah urus tadbir dan siasatan oleh Kementerian Pengangkutan pada 2020 turut mengaitkan sebahagian masalah kewangannya dengan rasuah dalaman.
Sementara itu, sektor pelancongan Thailand masih belum pulih sepenuhnya kepada tahap pra-pandemik, dengan kerajaan menyasarkan 37 juta pelancong asing pada 2025. – AFP

