SI THEP, THAILAND – Di bawah matahari yang terik, ahli arkeologi Thai, Tanachaya Tiandee memanjat pagoda yang musnah di bandar purba, Si Thep, cuba meneroka misterinya, satu tugas yang lebih sukar kerana banyak petunjuk hilang.
Penjarah telah merompak tapak-tapak yang kaya sejarah tentang Thailand seperti Si Thep, selama beberapa dekad, mengambil banyak barang ke luar negara. Kerajaan kini cuba mencari harta budaya yang dicuri itu.
“Gambaran besar seperti bangunan telah dijumpai, tetapi artifak yang menceritakan butiran kecil hilang, menjadikan banyak cerita tidak terungkap tentang Si Thep,” kata Tanachaya kepada AFP.
“Seperti kepingan teka-teki yang hilang.”
Si Thep, ahli arkeologi yakin ia berasal dari 1,500 hingga 1,700 tahun yang lalu, mungkin akan dimasukkan ke dalam senarai warisan budaya UNESCO minggu itu – penambahan pertama Thailand sejak 1992.
Selama beberapa abad dan di bawah pengaruh pelbagai budaya, ia berkembang menjadi sebuah metropolis perdagangan penting sehingga kemundurannya bermula pada akhir abad ke-13, menurut penyerahan kerajaan Thailand kepada UNESCO.
Semasa Tanachaya berusia 33 tahun menggali konstruksi batu kuno dengan berhati-hati, dia mengalami kesukaran untuk menyusun semula Si Thep, yang terletak kira-kira 200 kilometer di utara Bangkok.
Dipercayai selama bertahun-tahun, sekurang-kurangnya 20 objek telah dicuri dari tapak ini, dengan pakar mengenal pasti 11 muzium di Amerika Syarikat (AS).
Bilangan sebenar objek yang dirompak disyaki jauh lebih tinggi, disebabkan oleh kekurangan dokumentasi.
Sekarang Tanachay memutuskan sejak muda lagi bahawa dia ingin menjadi versi Thai watak filem Indiana Jones dan rakan-rakannya menghadapi pencarian mereka sendiri.
Bolehkah mereka membawa kembali harta budaya negara mereka?
Kerajaan Thailand, yang pada masa itu dipimpin oleh tentera, menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan Kebendaan Thai di Luar Negara pada tahun 2017.
Lebih kurang 340 objek telah dipulangkan secara sukarela ke Thailand sejak itu, menurut laporan terkini jawatankuasa.
Tetapi prosesnya perlahan, sebahagiannya kerana pegawai kerajaan berhati-hati untuk tidak membahayakan hubungan diplomatik dengan sekutu penting seperti AS.
“Sebaliknya, pihak berkuasa Thailand telah meneruskan laluan diplomatik dengan ‘bijak’,” jelas Pengarah Jeneral Jabatan Kesenian Halus Thailand, Phnombootra Chandrachoti.
“Kami tidak akan mempercepatkan apa-apa,” katanya kepada AFP.
Muzium Norton Simon di California, Amerika Syarikat, memegang beberapa artifak Thailand, termasuk satu artifak yang dianggarkan oleh seorang pakar bebas berasal dari taman arkeologi Si Thep.
“Ada 32 artifak dari Si Thep, yang tersebar di pelbagai muzium di AS,” kata jawatankuasa.
Norton Simon hanya satu daripada beberapa institusi AS, termasuk Muzium Metropolitan New York dan Asian Art Museum San Francisco , yang dinyatakan sebagai artifak seni didakwa telah diambil dari negara asal secara tidak sah.
Muzium itu memberitahu AFP bahawa, ia tidak mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan Thailand, tetapi akan bekerjasama dengan pihak berkuasa jika dihubungi dan mempertahankan barangan tersebut. Karya-karya yang dikatakan telah dibeli secara sah, “telah dijaga dengan baik dan dipamerkan,” kata Leslie Denk, Naib Presiden Hal Ehwal Luar di institusi itu.
Ahli sejarah Thailand menghadapi dilema lain. Usaha Si Thep untuk menjadi tapak UNESCO boleh meningkatkan ekonomi tempatan tetapi ia juga boleh memberikan tekanan kepada tapak kuno yang rapuh.
Pelancong asing yang mengunjungi Phetchabun, khususnya Si Thep, adalah sangat rendah, iaitu hanya 1 peratus daripada jumlah keseluruhan pengunjung, menurut data rasmi tahun 2019.
Kerajaan Thailand berharap pengiktirafan UNESCO akan membantu menggalakkan sektor pelancongan negara itu, yang menyumbang hampir 20 peratus kepada KDNK negara.
Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai pemuliharaan.
Tapak ini sudah “hampir mencapai kapasiti penuhnya” iaitu kira-kira 2,000 pelancong sehari, kata Ketua Taman Sejarah Si Thep, Sittichai Pooddee.
“Kami akan cuba menyeimbangkan perkara itu. Kami akan cuba untuk tidak mempromosikan secara berlebihan,” katanya.
“Artifak yang hilang menyebabkan jurang dalam rekod, yang menjadikannya lebih sukar untuk memenuhi rasa ingin tahu pelancong yang melawat tapak itu,” kata sejarawan Thailand, Tanongsak Hanwong.
“Artifak memartabatkan tamadun masa lalu Thailand dan apabila beberapa bahagian hilang, kami akan terperangkap dan kami tidak dapat memberitahu bahagian penting kisah itu kepada dunia,” kata Tanongsak.
Di kompleks Si Thep yang damai, pengunjung tempatan memandang ke dinding pagoda yang diukir dengan teliti. “Ia adalah warisan milik orang Thai dan yang kami banggakan. Sayang sekali jika tidak mendapatkannya kembali,” kata Chaowarat Munprom, seorang pesara berusia 66 tahun. – AFP