Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand alami cuaca sejuk luar biasa

    BANGKOK, 16 JAN – Thailand yang dikenali dengan cuaca tropika kini menikmati cuaca sejuk luar biasa yang dijangka berlanjutan sehingga pertengahan Februari, menyebabkan ramai penduduk menyelongkar semula pakaian sejuk seperti baju panas dan kardigan.

    Menurut ramalan pagi tadi, kawasan di seluruh Thailand, terutamanya di bahagian utara, mengalami suhu sejuk. Jabatan Meteorologi memaklumkan suhu di kawasan utara dan timur laut turun serendah 8 hingga 9 darjah Celsius, manakala kawasan pergunungan mencatatkan suhu serendah 2 darjah Celsius.

    Beberapa minggu kebelakangan ini amat menyeronok bagi penduduk Bangkok, di mana suhu tinggi pada musim panas boleh mencecah antara 35 hingga 40 darjah Celsius.

    Suhu di Bangkok hari ini menunjukkan sedikit peningkatan, tetapi suhu rendah tetap dicatatkan antara 19 hingga 21 darjah Celsius.

    Di sebuah taman di pusat bandar Bangkok, ramai pelari mengambil peluang menikmati suhu sejuk pagi dengan bersenam tanpa rasa berpeluh. Seorang ekspatriat Jerman, Thomas Singenberger, yang telah tinggal di Thailand selama 10 tahun, berkata cuaca itu menjadikan aktiviti larian pagi lebih menyeronokkan.

    Awal minggu ini, cuaca adalah lebih sejuk. Pada Isnin, suhu di Bangkok mencecah 15 darjah Celsius, yang merupakan suhu paling rendah tahun ini bagi ibu negara, menurut Jabatan Meteorologi.

    Sementara suhu dijangka meningkat minggu hadapan, Jabatan Meteorologi berkata keadaan sejuk itu akan berterusan sehingga pertengahan Februari, terutamanya di kawasan utara dan timur laut. Suhu musim panas juga dijangka lebih sederhana daripada biasa.

    Fenomena itu disebabkan kesan La Nina, iaitu penyejukan semula jadi sesekali di kawasan khatulistiwa Pasifik yang turut mempengaruhi cuaca di seluruh dunia. – AP

    Gambar menunjukkan seorang sami Buddha memakai topi musim sejuk di Bangkok, Thailand kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda